PM puji kecekapan pengurusan nahas, janji bantuan kepada keluarga mangsa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pengurusan nahas negara berada dalam keadaan terbaik dalam menguruskan insiden pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, semalam.

Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada petugas keselamatan dan kesihatan yang membantu sepanjang pengendalian insiden berkenaan.

“Saya ikuti dari semalam (perkembangan kejadian). Alhamdulillah, saya bersyukur kerana petugas keselamatan, jabatan agama, jabatan forensik dan beberapa badan kebajikan lain daripada kerajaan bertindak cekap.

“Persiapan penginapan semuanya diuruskan dengan begitu cekap dan saya bangga serta berterima kasih kepada mereka yang terbabit.”

Dalam kejadian jam 2.40 petang semalam, pesawat ringan berlepas dari Langkawi menuju ke Subang sebelum terhempas di Elmina, Shah Alam dan mengorbankan lapan orang dalam pesawat. Turut terkorban dalam nahas berkenaan adalah penunggang motosikal dan pemandu kereta.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bantuan membabitkan pengurusan dan kelengkapan jenazah serta penginapan kepada waris mangsa.

Menurut Anwar, Kerajaan sedang mengenalpasti bantuan lain yang akan disalurkan kepada waris mangsa terutama ahli keluarga yang tiada pekerjaan tetap.

“Tindakan dilakukan sekarang ialah mempercepatkan proses forensik dan urusan berkaitan ujian DNA (asid deoksiribonukleik).

“Semuanya itu akan diuruskan kerajaan, sebaik selesai (proses pengurusan jenazah), sama ada pihak majlis agama, kerajaan negeri Selangor atau jabatan berkenaan,” katanya dalam sidang media di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.

Anwar yang tiba pada jam 12.55 tengah hari disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Hadir sama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain; Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi.

Terdahulu beliau bersama Ahmad Zahid dibawa ke khemah yang menempatkan waris mangsa nahas untuk menziarahi mereka sebelum diberikan taklimat ringkas mengenai proses bedah siasat yang sedang berlangsung di hospital.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan dan kerajaan negeri akan bekerjasama bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa.-SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat