Modus Operandi Skandal LCS Mirip Kaedah Curi Wang 1MDB – Rafizi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, hari ini mendedahkan bahawa sebuah syarikat pesisir luar pantai (“offshore incorporated company”) telah dinamakan di dalam siasatan dalaman sebagai syarikat yang ditubuhkan untuk memindahkan wang dari projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) ke akaun-akaun di luar negara.

Rafizi Ramli mendakwa syarikat yang dinamakan ialah Alizes Marine Limited, sebuah syarikat yang ditubuhkan di Malta.

“Syarikat ini juga dinamakan di dalam siri pendidihan Panama/Paradise Papers yang mendedahkan bagaimana syarikat-syarikat pesisir luar pantai digunakan untuk menyembunyikan wang dari aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang di seluruh dunia.

“Laporan siasatan dalaman ke atas projek LCS membuat kesimpulan iaitu setelah menyemak invois-invois dari pembekal-pembekal tertentu, pasukan penyiasat menemui sejumlah bayaran palsu berjumlah RM23.37 juta. Invois dihantar kepada subkon projek LCS untuk perkhidmatan teknikal yang sebenarnya tidak wujud.

“Apabila pembekal-pembekal ini dijejaki, syarikat sebenarnya tidak wujud kerana maklumat alamat yang diberikan adalah palsu. Malah, semakan menunjukkan bayaran dibuat ke akaun-akaun lain,” dakwa Rafizi.

Dedah beliau, modus operandi yang digunakan mirip kaedah yang digunakan untuk mencuri wang 1MDB.

“Syarikat-syarikat palsu ditubuhkan di seluruh dunia yang namanya menyamai sebuah syarikat yang benar-benar wujud.

“Invois dihantar dari satu syarikat, sebaliknya arahan bayaran adalah supaya invois dibayar ke satu akaun yang didaftarkan di bawah syarikat yang namanya hampir sama tetapi syarikat berlainan.

“Siasatan dalaman menamakan Alizes Marine Limited sebagai salah sebuah syarikat yang banyak menerima bayaran bagi perkhidmatan sebegini,” ujar beliau.

Kata Rafizi lagi, Alizes Marine Limited dilantik oleh subkon projek sebagai pembekal alat-alat gantian (“spare parts”) untuk projek ini atas cadangan DCNS, kontraktor teknikal yang menyediakan reka bentuk dan spesifikasi teknikal kapal kelas Gowind.

“Siasatan dalaman projek LCS, dalam menamakan Alizes Marine Limited sebagai syarikat yang memindahkan wang dari projek LCS, juga membuat penemuan-penemuan seperti, Alizes Marine Limited dicadangkan untuk menjadi pembekal atas alasan ia sebuah syarikat pembekal pertahanan dari Perancis (menggunakan Alizes Marine France); pengurusan projek LCS dimaklumkan bahawa Alizes Marine France mempunyai lesen eksport sedunia (“global export license”) yang memberi kelebihan kepadanya untuk membekalkan alat-alat ganti pertahanan. Pengurusan projek LCS melantik Alizes Marine atas pertimbangan ia mempunyai lesen eksport sedunia.

“Maklumat itu sebenarnya palsu kerana Alizes Marine Limited tidak mempunyai sebarang lesen, sebaliknya hanyalah sebuah syarikat pesisir luar pantai tanpa operasi dan walaupun projek LCS menerima invois yang nampak seperti datang dari Alizes Marine France, bayaran-bayaran sebenarnya dibuat akaun di Singapura yang dimiliki sebuah lagi syarikat lain yang menggunakan nama Alizes Marine Limited (hampir sama tetapi berlainan),” dakwa beliau dalam kenyataan pada Khamis.

Kesimpulan beliau siasatan dalaman secara terang-terang menamakan penglibatan DCNS dalam skim menyelewengkan dana ini iaitu DCNS used Alizes Marine as a front to benefit from the supply of spare parts on the arrangement made and carved in Malaysia.” dan DCNS menggunakan Alizes Marine sebagai syarikat palsu untuk mendapat manfaat dari pembekalan alat gantian berdasarkan muslihat yang dibuat di Malaysia.

“Penyiasat-penyiasat turut menyimpulkan bahawa DCNS dan sebuah lagi syarikat dari Perancis adalah sebahagian dari skim yang memindahkan wang dari projek ini yang melanggar Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Perkara ini disahkan apabila penyiasat membandingkan jumlah yang dibayar oleh projek LCS untuk membeli alat-alat gantian kepada Alizes Marine Limited (berbanding jumlah perolehan yang dilaporkan di dalam penyata kewangan Alizes Marine France) bagi tempoh 2011 hingga 2015.

“Sepanjang tempoh itu, subkontraktor projek LCS membayar EUR43.69 juta (bersamaan sekitar RM210 juta) kepada Alizes Marine France (berdasarkan invois-invois yang dihantar tetapi dibayar ke akaun-akaun lain di bawah Alizes Marine Limited) bagi pembelian alat-alat ganti.

“Sebaliknya, jumlah perolehan yang dilaporkan di dalam penyata kewangan Alizes Marine France yang dilaporkan kepada pihak berkuasa Perancis hanya EUR3.53 juta (bersamaan sekitar RM18 juta). Ini bermakna, sejumlah RM192 juta telah dipindahkan ke akaun syarikat-syarikat pesisir luar pantai yang tidak dapat dijejaki,” dakwa Rafizi lagi.

Sebab itu beliau bertegas bahawa skim mencuri dana rakyat yang sebegini rumit tidak boleh berlaku tanpa dilindungi oleh orang-orang atasan yang lebih berkuasa dari seorang pesara Panglima Tentera Laut yang didakwa baru-baru ini.

“Jika skim-skim yang melibatkan syarikat-syarikat pesisir luar pantai dituduh bersabit dengan DCNS, dan DCNS mempunyai rekod membayar rasuah kepada syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak semasa skandal Scorpene dahulu, maka wajarlah rakyat terus menuntut siasatan untuk mengetahui siapa dalang sebenar yang mempunyai kuasa melindungi DCNS.

“Hanya Najib Razak, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang boleh menjawab soalan ini,” kata Rafizi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat