Siapapun calon Perdana Menteri mesti ada majoriti, dapat keabsahan undi percaya di Parlimen – titah Agong, Timbalannya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Timbalannya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah supaya semua 220 ahli Dewan Rakyat untuk mempersembahkan kepada Baginda surat akuan (statutory declaration) yang menyatakan seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri yang baharu.

Menurut Baginda berdua, kesemua ahli Dewan Rakyat hendaklah mengemukakan surat akuan masing-masing kepada pihak Istana Negara pada hari ini, 18 Ogos 2021 sebelum jam 4.00 petang.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa surat akuan tersebut adalah bertujuan untuk membantu Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Dalam hal ini, Baginda selanjutnya bertitah bahawa selaku Ketua Utama Negara, Baginda akan cuba sedaya upaya untuk menyempurnakan tanggungjawab seorang Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang. Seri Paduka Baginda akan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi membincangkan isu-isu semasa yang dijadualkan pada 20 Ogos 2021 (Jumaat).

“Seri Paduka Baginda dan Paduka Seri Sultan Perak telah menzahirkan pandangan bahawa kemelut politik yang berlarutan tanpa titik noktah ini telah mengganggu-gugat tadbir urus Kerajaan ketika kita masih diancam pandemik COVID-19,” ujar Ahmad Fadil.

Justeru kata beliau, Baginda berdua menegaskan bahawa semua kemelut dan kecelaruan politik ini telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi negara, di samping itu demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat, mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan satu pilihan yang terbaik pada ketika ini.

“Baginda berdua turut menzahirkan pandangan supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik dengan memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar yang segera.

“Sebelum mengakhiri sesi menghadap semalam, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama, demi mengharmonikan suasana, ahli Dewan Rakyat yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya dan semua pihak sepatutnya bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan.

“Dalam erti kata lain, yang menang tidak menang semua manakala yang kalah pula tidak kalah semua.

“Seri Paduka Baginda juga menzahirkan harapan agar Ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain akan turut diatur bagi sesi-sesi menghadap daripada semasa ke semasa,” beritahu beliau.

Dalam penjelasan lanjut, Ahmad Fadil memaklumkan, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan titah akan tujuan utama sesi menghadap semalam adalah untuk menyatakan bahawa, sesiapapun juga yang dilantik menerajui kepimpinan Kerajaan Persekutuan hendaklah dipilih mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Hal ini kerana rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan pada masa yang sama negara bergelut dengan isu kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

“Kesepakatan dan kejujuran Ahli-ahli Dewan Rakyat sangat perlu bagi memastikan kemaslahatan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

” Ahli-ahli Dewan Rakyat perlu mempamerkan solidariti dengan meneruskan ikhtiar, memberikan komitmen yang tinggi dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

” Majoriti ‘frontliners’ berada dalam keletihan kerana berhadapan ribuan pesakit COVID-19 baharu setiap hari. Bahkan, fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.

” Perancangan di bawah dasar sedia ada seperti pelaksanaan projek pembangunan, program menangani pandemik COVID-19, termasuk program vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok, dan program pemulihan negara perlu dikekalkan,” titah Baginda.

Semalam pada Selasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Perak telah menerima sesi sembah sesi menghadap Ketua Setiausaha Negara, Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di- Pertua Dewan Rakyat dan Peguam Negara.

Kemudian sesi menghadap bersama ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama terdiri daripada UMNO, DAP, PKR, Bersatu, PAS, Amanah, Warisan dan Pejuang telah berlangsung lebih 90 minit.

Manakala Seri Paduka Baginda juga turut berkenan menerima menghadap secara maya pada jam 1.40 petang komponen-komponen parti Gabungan Parti Sarawak (GPS).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,591FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat