KUALA LUMPUR – Cadangan memberikan perlindungan undang-undang kepada pegawai penjara menerusi Seksyen 63A perlu ditarik balik susulan kemunculan dua kes baharu membabitkan dakwaan penyeksaan dan kematian dalam tahanan, kata Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).
Pengarah Eksekutif SUARAM, Azura Nasron berkata, kes di Penjara Temiang dan Penjara Simpang Renggam menunjukkan sistem penjara negara masih berada pada tahap kritikal, dengan kelemahan pengawasan, ketiadaan perubahan struktur serta budaya bebas daripada pertanggungjawaban.
Menurutnya, kedua-dua kes itu berlaku tidak lama selepas beberapa insiden tragis di Penjara Taiping, sekali gus membuktikan masalah dalam sistem penjara bukan kejadian terpencil.
“Dalam keadaan dakwaan penderaan dan kematian dalam tahanan terus berlaku, cadangan memperkenalkan Seksyen 63A hanya akan mengurangkan akauntabiliti dan melindungi kegagalan institusi,” katanya dalam satu kenyataan.
Seksyen 63A yang dicadangkan dalam Rang Undang-Undang Penjara (Pindaan) 2026 dikatakan akan memberikan kekebalan daripada tindakan undang-undang kepada pegawai penjara sekiranya mereka bertindak dengan “niat baik” dan mempunyai “kepercayaan munasabah” bahawa tindakan tersebut diperlukan.
SUARAM menyifatkan cadangan itu sebagai langkah regresif yang berpotensi melindungi pegawai dan institusi penjara daripada penelitian awam serta tindakan undang-undang berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa.
“Undang-undang mesti mengutamakan ketelusan dan pertanggungjawaban, bukannya menjadi perisai kepada kegagalan institusi,” katanya.
Dalam kes pertama, seorang banduan berusia 69 tahun dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani hukuman penjara selama dua bulan di Penjara Temiang, hanya seminggu sebelum dijadualkan dibebaskan pada 29 Jun lalu.
Pada 22 Jun, keluarga mangsa menerima panggilan daripada pegawai penjara yang memaklumkan bahawa lelaki itu berada dalam keadaan kritikal dan perlu dibawa ke hospital.
Bagaimanapun, kira-kira 10 minit kemudian, keluarga menerima satu lagi panggilan yang memaklumkan mangsa telah meninggal dunia.
Menurut SUARAM, kematian itu mengejutkan keluarga kerana mangsa dikatakan tidak mempunyai sebarang penyakit atau masalah kesihatan sedia ada.
Keluarga juga didakwa tidak dibenarkan melihat jenazah pada hari yang sama dengan alasan ia telah ditutup dan dimeterai.
Dalam kes kedua, SUARAM menerima aduan daripada ahli keluarga seorang banduan di Penjara Simpang Renggam yang mendakwa mangsa telah diseksa pada 4 Jun 2026.
Mangsa didakwa mengalami kecederaan serius pada tapak kaki selepas dipukul menggunakan paip oleh seorang warden penjara.
Walaupun laporan polis telah dibuat dan Jabatan Penjara dimaklumkan, SUARAM mendakwa tiada langkah keselamatan diambil bagi melindungi mangsa.
Mangsa juga dikatakan masih ditempatkan di penjara yang sama dengan pegawai yang didakwa menderanya.
“Keadaan ini meletakkan mangsa dalam risiko berterusan dan menimbulkan persoalan serius mengenai perlindungan terhadap pengadu serta mangsa penderaan dalam tahanan,” katanya.
Sehubungan itu, SUARAM menggesa Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues segera dan telus bagi menentukan punca kematian banduan di Penjara Temiang sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 334 dan 339 Kanun Tatacara Jenayah.
SUARAM turut menuntut pihak penjara dan Kementerian Dalam Negeri menyerahkan kepada keluarga mangsa laporan perubatan lengkap, keputusan bedah siasat serta penjelasan terperinci mengenai kronologi sebelum kematian.
Badan hak asasi manusia itu turut mahu tindakan segera diambil terhadap mana-mana pegawai penjara yang didapati cuai atau terlibat dalam penganiayaan banduan sementara siasatan jenayah penuh dijalankan.
Pegawai yang dikaitkan dengan dakwaan salah laku juga perlu dipindahkan ke fasiliti lain sepanjang tempoh siasatan bagi melindungi mangsa dan mengelakkan gangguan terhadap proses penyiasatan.
SUARAM seterusnya menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen menarik balik cadangan Seksyen 63A daripada Rang Undang-Undang Penjara (Pindaan) 2026.
“Berapa banyak lagi nyawa perlu terkorban sebelum sistem yang rosak ini akhirnya diperbaiki?” soal Azura.



