Pasukan Khas Sasar Harga Minyak Masak Turun 10 Peratus – Annuar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi menyasarkan harga minyak masak diturunkan 10 peratus lebih rendah daripada harga yang dijual kini dalam masa dua minggu susulan penurunan harga minyak sawit.

Pengerusi pasukan khas itu Tan Sri Annuar Musa justeru berharap pihak industri dan termasuk pengilang akan bekerjasama untuk menurunkan harga minyak masak dalam tempoh berkenaan.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata ketika ini harga minyak masak yang tidak disubsidi masih berada pada paras harga yang agak tinggi.

“Jadi kita bersetuju untuk sekali lagi kita mohon kerjasama untuk semua pengilang dan dalam masa seminggu dua daripada sekarang kita ingin melihat harga minyak masak diturunkan kepada satu paras sekurang-kurangnya 10 peratus lebih rendah daripada harga ianya dijual.

Kita sangat memerlukan kepada persefahaman di peringkat kilang-kilang, sepantas mana mereka menaikkan harga sewaktu harga minyak dulu, saya harap sepantas itu jugalah mereka kena segera menurunkan harga apabila harga minyak (sawit) telahpun turun,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat keempat pasukan khas itu.

Menurut Annuar, ketika ini harga minyak masak botol adalah kira-kira RM42 bagi botol 5 kilogram.

Justeru, beliau berkata pasukan khas itu bersetuju supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat sesi libat urus dengan setiap pengilang terlibat bagi menyampaikan mesej bahawa penurunan harga minyak masak perlu diberi keutamaan dan disegerakan.

Sepanjang tempoh 1 hingga 15 Julai, Annuar berkata sebanyak 9,493 pemeriksaan diadakan di 3,316 premis dengan nilai sitaan untuk minyak masa kelapa sawit adalah RM2.1 juta.

Berhubung laporan balas terhadap harga siling ayam, beliau berkata pasukan khas itu berpuas hati kerana harga ayam masa kini rata-rata dijual dibawah harga siling yang ditetapkan dengan harga purata nasional mingguan sehingga 9 Julai adalah RM9.22 dan Pahang merekodkan harga terendah iaitu RM8.95 sekilogram.

Selain itu, Annuar berkata dari 1 Jan sehingga semalam sebanyak 521,995 pemeriksaan telah diadakan di seluruh negara dengan nilai rampasan adalah RM52 juta bagi semua barangan yang termaktub di bawah bidang kuasa perundangan KPDNHEP.

Sementara itu Annuar berkata negara perlu membuat persiapan ekoran kesan inflasi tinggi yang sedang dialami negara-negara rakan dagang Malaysia.

Bagi tujuan itu, beliau berkata satu pasukan yang terdiri daripada pakar-pakar ekonomi akan membantu pasukan khas berkenaan untuk membentuk rangka kerja bertindak yang lebih menyeluruh dan komprehensif.

“Saya beri masa sebulan kepada mereka untuk menyiapkan rangka pelan tindakan yang menyeluruh dan boleh dibentangkan kepada jawatankuasa agar jawatankuasa ini mempunyai rangka kerja lebih mantap untuk menangani kaedah-kaedah, seterusnya mengambil tindakan terhadap impak inflasi dan kenaikan harga barang dalam negara,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,594FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat