Amelina jual nasi ayam Rindu, nasi minyak Asyik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Daripada percubaan menjual 15 bekas juadah air tangan sendiri sehari, ratu dangdut, Amelina tidak menang tangan menyiapkan 50 tempahan makanan sejak perniagaan kecilnya mendapat perhatian ramai.

Menyediakan nasi ayam Rindu setiap Selasa disusuli nasi minyak Asyik pada Khamis dan Jumaat, Amelina tidak menyangka usahanya mencari pendapatan tambahan sejak tiada ‘job’ akibat penularan pandemik COVID-19, mendapat sambutan.

Demi kelangsungan hidup, sejak akhir bulan lalu, Amelina atau nama sebenar, Norazlina Amir Sharipuddin yang pernah hidup susah, memberanikan diri menjual juadah air tangan sendiri kepada orang ramai.

“Dahulu sekadar memasak untuk makan sendiri dan anak-anak. Sekarang, saya memasak untuk pelanggan dan nikmatnya berbeza.

“Pada mulanya, saya bimbang tidak menjadi dan tiada sambutan. Malah, kali pertama menjual juadah, saya tidak mempromosikannya dalam media sosial.

Amelina tidak mengharapkan bantuan sebaliknya lebih suka berusaha sendiri bagi mencari pendapatan sampingan sejak penularan pandemik COVID-19. Foto IG Amelina
Amelina tidak mengharapkan bantuan sebaliknya lebih suka berusaha sendiri bagi mencari pendapatan sampingan sejak penularan pandemik COVID-19. Foto IG Amelina

 

“Saya buka tempahan untuk 15 bekas dan optimis rezeki akan datang dengan diiringi usaha,” katanya kepada BH Online.

Amelina bersyukur peminat menyokong perniagaan kecilnya dan memberi kata-kata semangat.

“Peminat yang membuat tempahan dan merasa juadah memberitahu makanan saya enak. Mereka mula berkongsi dengan teman-teman media sosial. Malah, ada yang berulang kali membuat tempahan.

“Tidak ketinggalan, teman-teman artis juga membuat tempahan dan memberi sokongan,” katanya.

Lebih mengharukan Amelina, ada peminat dari jauh seperti Johor dan Sarawak membuat tempahan untuk disedekahkan kepada golongan memerlukan.

“Ada juga yang membeli nasi ayam dan nasi minyak untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan,” katanya yang lebih suka mencari rezeki sendiri pada waktu sukar daripada dihulurkan bantuan kewangan.

Amelina berkata, ketika ini, dia hanya mampu menyediakan dua juadah mengikut hari ditetapkan.

“Rezeki ini pun ibarat tidak menang tangan. Saya berserah kepada Tuhan dalam soal berniaga… Allah sudah tetapkan rezeki masing-masing.

“Ketika ramai yang bergelut sekarang, bukan senang orang hendak mengeluarkan wang membeli itu dan ini. Jadi, saya niat memasak sehabis baik, penuh kasih sayang dan tidak berkira,” katanya.

Menamakan dua juadah itu mengikut lagu popularnya iaitu Rindu dan Asyik, Amelina menggunakan resepi nasi minyak ibunya.

“Setiap kali menyambut Aidilfitri, emak menyediakan nasi minyak. Selama ini, saya tengok emak masak dan mendapatkan resipinya.

“Nasi ayam pula memang kegemaran saya dan banyak memerhatikan penyediaannya ketika makan di restoran,” katanya yang menerbitkan versi baharu single Memori Daun Pisang diberi judul Memori Lockdown sebagai motivasi kepada peminat.

Amelina kini berjauhan dengan empat anak yang menetap bersama ibunya di Nilai, Negeri Sembilan. Hanya dua anaknya tinggal bersama ketika ini.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat