KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Yang DiPertua Dewan Negara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas 20 pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM235,000 dan tiga kereta mewah berhubung projek tambak laut di Melaka.
Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Ali sebagai pengarah urusan sebuah syarikat pemaju didakwa dengan 17 pertuduhan secara rasuah menerima wang tunai berjumlah RM5,000 hingga RM20,000 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM235,000 daripada seorang pengarah syarikat lain bergelar Datuk.
Bagi tiga lagi pertuduhan, dia didakwa menerima tiga kenderaan mewah jenis BMW730Li, Range Rover, dan Bentley Flying Spur daripada individu sama.
Ia sebagai upah untuk beliau melantik syarikat tersebut sebagai kontraktor bagi menjalankan kerja di bawah projek Cadangan Menambak Laut Seluas 100 ekar di perairan Kawasan Kota Laksamana, Melaka Tengah, Melaka bernilai RM45.1 juta untuk tujuan pembangunan bercampur.
Kesalahan tersebut dilakukan di dua buah premis masing-masing di Glenmarie dan Sungai Buloh antara Januari 2017 hingga 20 Januari tahun ini.
Justeru itu, Mohamad Ali melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Datuk Ahmad Akram Gharib mencadangkan jaminan RM60,000 bersama seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah,lapor Harian Metro di Shah Alam pada Rabu.
Peguam, Md Yunos Shariff yang mewakili Mohamad Ali memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan kepada anak guamnya dan bersetuju dengan jumlah jaminan serta syarat tambahan yang dicadangkan.
Hakim kemudian memutuskan jumlah jaminan demikian serta larangan kepada tertuduh daripada mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 Julai.