BEIJING, 10 Feb – Sebuah perkampungan pelancongan di China yang terkenal dengan pemandangan musim sejuk terpaksa memohon maaf selepas didapati menggunakan kapas dan air sabun bagi mencipta salji palsu.
Perkampungan Chengdu Snow Village menerima kritikan hebat kerana dianggap sebagai “kampung salji tanpa salji”, selepas cuaca luar biasa panas melanda wilayah Sichuan.
Pihak pengurusan mengakui bahawa kapas yang digunakan tidak memberikan kesan seperti diharapkan.
Dalam satu kenyataan di akaun rasmi WeChat pada 8 Februari, pengurusan Chengdu Snow Village menjelaskan bahawa cuaca panas semasa cuti Tahun Baru Cina pada penghujung Januari telah menyebabkan salji tidak terbentuk seperti yang dijangkakan.
“Untuk mencipta suasana bersalji, kampung pelancongan ini telah membeli kapas sebagai salji… tetapi ia tidak mencapai kesan yang diharapkan, meninggalkan kesan buruk kepada pelancong yang datang melawat,” menurut kenyataan tersebut.
Pihak pengurusan turut menyatakan bahawa mereka “sangat memohon maaf” atas kejadian tersebut dan pengunjung boleh mendapatkan bayaran balik.
Susulan itu, lokasi pelancongan ini telah ditutup.
Gambar yang dimuat naik di WeChat menunjukkan helaian kapas besar bertaburan di atas tanah, hanya menutupi sebahagian kawasan yang berdaun.
Seorang pelawat berkata bahawa salji tebal yang kelihatan menyelimuti rumah-rumah di kawasan tersebut sebenarnya hanyalah kapas.
“Sebuah kampung salji tanpa salji,” kata seorang pengguna.
“Di zaman Internet yang maju seperti sekarang, tempat pelancongan harus mengiklankan dengan jujur dan mengelakkan penipuan atau pengiklanan palsu. Jika tidak, mereka hanya akan menjejaskan diri sendiri.”
Selepas menerima kecaman, pihak pengurusan mula membuang kapas dari kawasan itu.
China kini berdepan dengan gelombang haba yang lebih panas dan panjang, serta hujan lebat yang lebih kerap dan tidak menentu akibat perubahan iklim, menurut biro cuaca negara itu. Negara itu juga merupakan penyumbang terbesar kepada pelepasan gas rumah hijau di dunia.