Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Aurelius Hospital Alor Setar (AHAS) merupakan di antara hospital swasta terbesar di Kedah memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan ekosistem penjagaan kesihatan di Malaysia.
Pelancarannya merupakan detik penting dalam sektor penjagaan kesihatan di utara Malaysia bermatlamat menyediakan perkhidmatan perubatan bertaraf dunia dengan memastikan pesakit menerima rawatan terbaik tanpa perlu berjalan jauh.
Pengerusi dan Pengarah Pengurusan Kumpulan Aurelius Healthcare, Datuk Amir Firdaus Abdullah berkata demikian ketika berucap sempena pembukaan rasmi AHAS dekat sini, baru-baru ini.
Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah perkenan berangkat mencemar duli bagi merasmikan dan melafazkan perasmian serta menandatangani plak sebagai simbolik perasmian seterusnya melawat AHAS.
Berangkat sama Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah Che Puan Nur Julie Ariff.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Mufti Kedah, Dato’ Paduka Dr. Syeikh Fadzil Awang; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria; Pegawai Daerah Kota Setar, Dato’ Hakim Ariff Md Noor, dan Pengarah Aurelius Healthcare, Dato’ Seri Dr. Mohamed Azahari Kamil.
Amir Firdaus berkata AHAS komited dalam mewujudkan peluang pekerjaan, menyokong ekonomi tempatan dan menyumbang kepada kesejahteraan komuniti menerusi program pendidikan serta kesedaran kesihatan.
“Dengan adanya AHAS, pesakit kini tidak lagi perlu pergi ke Kuala Lumpur atau Pulau Pinang untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan tertiari.
“Aurelius Healthcare yang diasaskan sejak 2019 merupakan kumpulan penjagaan kesihatan berpangkalan di Malaysia, khusus dalam pengurusan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer, tertiari dan kuaternari.
“Wawasan untuk mentakrifkan semula kecemerlangan penjagaan kesihatan, Aurelius Healthcare menggabungkan kepakaran global dengan pemahaman mendalam tempatan,”katanya.
“Selain itu, menyediakan penyelesaian pengurusan hospital yang disesuaikan dan bertaraf dunia untuk kemudahan penjagaan kesihatan baharu serta memodenkan hospital sedia ada.
“Hospital tertiari Aurelius Hospital menawarkan kepakaran perubatan dan pembedahan yang komprehensif dengan memastikan rawatan tercanggih dan penjagaan diperibadikan untuk pesakit tempatan serta antarabangsa, ”katanya lagi.
“Aurelius Healthcare turut mengendalikan Hospital Aurelius Pahang, Hospital Aurelius Negeri Sembilan dan telah mengembangkan jangkauan kepada beberapa hospital di seluruh Indochina.
“Ianya bagi meluaskan lagi jejaknya di rantau berkenaan dan mengukuhkan peranannya dalam sektor penjagaan kesihatan di Asia Tenggara,”ujarnya.
AHAS berkapasiti penuh 250 katil dan mempunyai 21 Pakar Perunding Residen yang merangkumi 15 bidang kepakaran, turut menampilkan Pusat Kecemerlangan Kardiologi, Ortopedik & Tulang Belakang, Kesihatan Wanita & Kanak-kanak serta Neurosains.
Ianya dilengkapi dengan kemudahan perubatan serba moden serta setanding dengan pusat perubatan tertiari swasta lain seperti di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.-SUARA.TV