KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui terpaksa menjadi model baju raya sebuah jenama fesyen bagi mendapatkan sumbangan untuk pengundi di kawasan Parlimennya.
Bekas Menteri Belia dan Sukan daripada MUDA itu berkata, ia susulan usahanya bagi mendapatkan peruntukan daripada kerajaan masih belum menemui hasil.
“Saya sudah cuba berkali-kali (memohon peruntukan) namun tidak berjaya… sebab itu saya lari dan jadi model. Ada Ahli Parlimen marah saya jadi model.
“Saya terpaksa jadi model… akhirnya dapat sumbangan RM1 juta untuk Parlimen Muar,” katanya pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Sebelum ini, Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) menegur Syed Saddiq supaya tidak melupakan rakyat Muar hanya kerana beliau sering bersama penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, mempromosikan baju raya sebuah jenama.
Pada masa sama, Syed Saddiq berkata, pihaknya meminta kerajaan supaya tidak lagi berteka-teki dalam aspek pemberian peruntukan kepada pembangkang.
Sebaliknya beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan di Dewan Rakyat sama ada peruntukan itu akan diberikan ataupun tidak kepada pembangkang.
“Isu peruntukan sebagai Ahli Parlimen Muar, saya konsisten dan beberapa kali cuba berunding. Saya ikut petua Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya berunding dengan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof).
“Saya sudah berunding sebanyak lima kali, surat demi surat sudahpun dihantar. Lebih 400 hari tetapi bantuan daripada kerajaan di Pusat Khidmat Parlimen Muar, kosong ringgit.
“Kalau tak nak (tidak mahu) kasi, cakap sahaja dalam Dewan ini, tak nak kasi jangan bermuka-muka. Di luar kata lain, di dalam kata lain, di luar kata lain lagi,” lapor BH.
Beliau meminta kerajaan supaya mengamalkan politik matang dengan membela pengundi tanpa mengira warna politik.
Sebelum ini, Fadillah ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat memberitahu rundingan peruntukan Ahli Parlimen pembangkang secara individu masih lagi terbuka.
September tahun lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan mengesahkan ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.
Hamzah memberitahu penolakan draf MoU itu dibuat atas empat sebab fundamental kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa, serta mengongkong kebebasan.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mendedahkan terdapat tujuh syarat didakwa dikenakan Kerajaan Perpaduan yang perlu dipenuhi Ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan dituntut.
Sementara itu, Syed Saddiq memuji usaha Perdana Menteri dalam ketegasan membantu dan memperjuangkan nasib rakyat Palestin di Gaza.
Beliau berkata, ia termasuklah usaha kerajaan yang mahu membina sekolah, hospital dan masjid di Gaza.
“Saya tidak faham ada pihak yang mempertikaikan usaha kerajaan ini sedangkan pembinaan hospital dan sekolah itu membabitkan kos yang sangat kecil.
“Ini kerana ia bukan sepenuhnya dana oleh kerajaan sebaliknya membabitkan bantuan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sumbangan rakyat Malaysia,” katanya.