KUALA LUMPUR: Seramai 2000 anak perantau Pahang menyertai Larian Tok Gajah 2024 sempena sempena KL Car Free Morning di Dataran DBKL, di sini.
Menurut Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, program ini seperti ini akan merapatkan hubungan anak-anak Pahang di perantauan bersama Kerajaan Negeri.
Katanya lagi, program hari ini amat bersejarah bagi negeri Pahang kerana kali pertama dianjurkan selepas penubuhannya pada Januari lepas.
“Pagi hujung minggu ini saya merasmikan Program Larian Tok Gajah 2024 sempena KL Car Free Morning di Dataran DBKL, Kuala Lumpur.
“Terima kasih atas penyertaan yang menggalakkan daripada perantau anak Pahang terutamanya yang menetap di Lembah Klang.
“Tahniah juga kepada Sekretariat Perantau Anak Pahang atas kejayaan penganjuran ini.
“Semoga program seperti ini akan merapatkan hubungan anak-anak Pahang di perantauan bersama Kerajaan Negeri,” katanya pada Ahad.
Larian Tok Gajah 2024 sejauh 5 kilometer hingga 7 kilometer ini akan dibuat lagi pada masa akan datang, katanya lagi.
Mengulas penubuhan Sekretariat Anak Pahang jelas Wan Rosdy, ia berperanan sebagai platform kerajaan negeri bagi menangkis fitnah dan persepsi tidak benar yang dimainkan pihak tertentu untuk mengelirukan rakyat yang tinggal di luar negeri ini.
Sekretariat yang ditubuhkan bulan lalu itu juga berperanan menyalurkan maklumat tepat mengenai pentadbiran kerajaan negeri.
“Seramai 92,000 anak Pahang di Lembah Klang kini mempunyai tempat untuk mereka berurusan iaitu di pejabat sekretariat di Tingkat 6 Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL).
“Kita dapat salurkan maklumat yang tepat sebagai contoh, anak-anak Pahang yang menunaikan haji kita beri RM750, sebelum itu kita beri RM500.
“Untuk mahasiswa dan mahasiswi juga tahun lepas kita beri RM300, tahun ini kita tambah kepada RM400, jadi maklumat itu tepat,” katanya lagi.