Pengambilalihan IJM: Apakah Kerajaan sedang melepaskan kuasa pemutus aset strategik negara?

Cadangan pengambilalihan IJM Corporation Berhad oleh Sunway Berhad tidak boleh ditanggapi sebagai urus niaga pasaran biasa.

Ia berpotensi mengubah struktur kawalan ke atas aset infrastruktur strategik negara dan menyingkirkan peranan dana pelaburan berkaitan kerajaan sebagai kuasa pemutus dalam sebuah syarikat yang selama ini berfungsi sebagai platform infrastruktur nasional.

Berdasarkan maklumat yang dilaporkan, pengambilalihan ini melibatkan tawaran oleh Sunway untuk mengambil alih IJM melalui gabungan tunai dan pertukaran saham.

Sekiranya tawaran ini berjaya dan Sunway memperoleh lebih 50 peratus saham IJM, kawalan efektif syarikat akan berpindah sepenuhnya kepada Sunway sebagai pemegang saham majoriti.

Dalam konteks tadbir urus korporat, pegangan melebihi 50 peratus bukan sekadar angka simbolik, tetapi ambang kuasa yang membolehkan pemegang saham pengawal menentukan komposisi lembaga pengarah, hala tuju strategik syarikat serta meluluskan keputusan utama termasuk pelupusan aset dan penstrukturan konsesi jangka panjang.

Sebelum sebarang pengambilalihan, IJM mempunyai struktur pemilikan yang luar biasa di Bursa Malaysia.

Hampir 45 hingga 46 peratus sahamnya dikuasai oleh dana pelaburan berkaitan kerajaan dan dana amanah rakyat seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Persaraan, dana Amanah Saham di bawah Permodalan Nasional Berhad, Tabung Haji dan Urusharta Jemaah. Walaupun tiada satu entiti memiliki majoriti mutlak, gabungan pegangan institusi awam ini mewujudkan kuasa pemutus kolektif yang memberi kerajaan pengaruh substantif terhadap hala tuju IJM.

Melalui pengaruh ini, IJM beroperasi sebagai syarikat infrastruktur yang selari dengan kepentingan dasar kerajaan.

Kerajaan tidak mengarah secara langsung, tetapi mempunyai ruang pengaruh melalui pelantikan lembaga, tadbir urus profesional dan konsensus institusi. Inilah yang sering dirujuk sebagai kawalan tidak langsung atau soft control, yang selama ini membolehkan aset strategik IJM diurus dengan mengambil kira kepentingan awam.

Struktur ini akan berubah secara mendasar sekiranya Sunway muncul sebagai pemegang saham majoriti. Apabila satu entiti menguasai lebih 50 peratus saham, dana-dana pelaburan kerajaan akan kehilangan kedudukan mereka sebagai kuasa penentu dan bertukar menjadi pemegang saham minoriti pasif.

Keupayaan KWSP, KWAP dan dana amanah lain untuk membentuk keputusan strategik dari dalam lembaga akan terhad, malah boleh diketepikan sepenuhnya sekiranya berlaku percanggahan kepentingan dengan pemegang saham pengawal.

Dalam keadaan ini, hala tuju IJM tidak lagi ditentukan melalui konsensus institusi awam, tetapi oleh strategi korporat Sunway.

Tanggungjawab utama lembaga baharu adalah kepada pemegang saham pengawal, bukan kepada kepentingan pencarum KWSP atau pelabur dana amanah. Hubungan kerajaan dengan IJM juga akan berubah daripada rakan strategik tidak langsung kepada pengawal selia luaran semata-mata, dengan kuasa yang lebih terhad dan tertakluk kepada kekangan undang-undang serta tekanan pasaran.

Implikasi peralihan kuasa ini menjadi lebih serius apabila mengambil kira aset yang dimiliki IJM.

Syarikat ini menguasai empat konsesi lebuh raya tol utama iaitu New Pantai Expressway, Besraya, SILK dan SUKE, menjadikannya antara pemilik lebuh raya terbesar di Malaysia.

Lebuh raya bukan sekadar aset komersial, tetapi infrastruktur awam yang berkait langsung dengan kos sara hidup dan mobiliti rakyat.

Selain itu, IJM juga memegang 60 peratus kepentingan dalam Pelabuhan Kuantan, sebuah aset strategik nasional yang penting kepada pembangunan Pantai Timur dan jaringan perdagangan serantau.

Apabila kawalan ke atas aset-aset ini berpindah kepada satu kumpulan swasta melalui pengambilalihan korporat, ruang imbangan antara kepentingan komersial dan kepentingan awam menjadi semakin sempit. Kerajaan tidak lagi mempunyai pengaruh dalaman untuk membentuk keputusan berkaitan pelanjutan konsesi, pampasan tol atau penstrukturan semula aset strategik, sebaliknya hanya bergantung kepada peranan pengawal selia dari luar.

Dalam konteks ini, pengambilalihan IJM menjadi petunjuk risiko dasar yang jelas. Jika sebuah syarikat yang dibesarkan melalui sokongan projek kerajaan, dimiliki hampir separuh oleh dana awam dan mengawal aset infrastruktur strategik boleh berpindah kawalan tanpa kerangka perlindungan kepentingan awam yang jelas, ia menetapkan preseden bahawa kuasa pemutus ke atas aset strategik negara boleh terlepas daripada pengaruh dana awam secara senyap.

Isu pengambilalihan IJM bukan soal kebolehan pasaran menentukan pemenang, tetapi soal sama ada kerajaan bersedia melepaskan kuasa pemutus ke atas aset infrastruktur strategik yang selama ini berada di bawah pengaruh dana awam.

Apabila Sunway melepasi ambang 50 peratus pegangan, alat-alat pelaburan kerajaan bukan sahaja kehilangan kawalan, malah kehilangan keupayaan untuk memastikan aset-aset ini terus diurus selari dengan kepentingan rakyat.

Tanpa penjelasan dasar yang tegas dan mekanisme perlindungan yang jelas, pengambilalihan ini berisiko melemahkan peranan dana awam sebagai penjaga aset strategik negara.- SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat