Adakah Hamzah Zainuddin yang berbincang dengan Zahid Hamidi, soal sumber dalam BERSATU

KUALA LUMPUR, — Pendedahan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bahawa telah berlaku perbincangan dengan pimpinan BERSATU mengenai soal penyatuan politik Melayu terus mencetuskan kegelisahan dalaman parti itu, khususnya apabila identiti sebenar wakil BERSATU yang terlibat masih kekal kabur.

Menurut sumber dalaman BERSATU yang mahu kekal tanpa nama, nama yang kini paling kerap disebut dalam perbincangan dalaman parti ialah Timbalan Presiden BERSATU, Hamzah Zainuddin, yang didakwa menjadi individu utama menghubungkan perbincangan dengan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

“Masalahnya bukan soal jumpa atau berbincang, tetapi soal mandat. Jika benar perbincangan itu berlaku atas nama BERSATU, siapakah yang memberi kuasa? Adakah ia dibawa ke Majlis Pimpinan Tertinggi atau sekadar rundingan peribadi di luar pengetahuan struktur parti,” kata sumber tersebut.

Ucapan penggulungan Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini dianggap mencetuskan polemik besar apabila beliau secara terbuka mengakui wujudnya perbincangan dengan pimpinan BERSATU dan PAS, namun gagal menjelaskan secara terperinci siapakah individu atau jawatan yang mewakili BERSATU dalam rundingan itu.

Ketiadaan sebarang pengesahan rasmi daripada BERSATU selepas pendedahan tersebut dilihat semakin menguatkan spekulasi bahawa perbincangan berkenaan tidak pernah mendapat mandat kolektif parti. Sumber dalaman itu berkata, situasi ini mencipta dua kemungkinan yang sama-sama merisaukan sama ada rundingan itu digerakkan oleh individu tertentu tanpa kelulusan rasmi, atau ia merupakan perbincangan pintu belakang yang disengajakan untuk tidak dibawa ke meja kepimpinan tertinggi.

“Dalam politik berparti, mandat adalah segala-galanya. Rundingan strategik melibatkan masa depan parti dan hala tuju gabungan tidak boleh dijalankan secara senyap, apatah lagi oleh seorang dua pemimpin tanpa keputusan bersama,” ujarnya.

Menurut sumber tersebut, kegelisahan ini semakin ketara kerana BERSATU ketika ini merupakan tonggak utama dalam Perikatan Nasional. Sebarang isyarat kerjasama atau rundingan sulit dengan UMNO tanpa penjelasan terbuka berisiko mencetuskan krisis kepercayaan dalam kalangan ahli, penyokong serta rakan gabungan.

“Penyokong BERSATU tidak memberi mandat untuk rundingan senyap. Jika ada pimpinan yang bergerak sendiri, itu bukan sahaja soal disiplin parti, tetapi soal kejujuran politik,” katanya.

Sumber itu turut menegaskan bahawa perbandingan dengan PAS sering dibuat oleh ahli BERSATU, kerana pendirian PAS mengenai kerjasama politik lazimnya disuarakan secara terbuka oleh kepimpinan tertinggi mereka, sekali gus mengurangkan kekeliruan dalam kalangan akar umbi.

“PAS jelas dengan pendirian mereka. Isu hari ini bukan PAS. Isunya ialah mengapa BERSATU seolah-olah membisu sedangkan nama parti disebut secara terbuka oleh Presiden UMNO,” katanya lagi.

Menurut sumber berkenaan, kegagalan kepimpinan BERSATU menjelaskan isu ini hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa wujud percanggahan dalaman dan permainan kuasa di belakang tabir, sekali gus menjejaskan imej parti sebagai pembangkang yang mendakwa memperjuangkan prinsip dan ketelusan.

“Jika benar Hamzah Zainuddin berbincang dengan Zahid Hamidi, nyatakan secara terbuka atas kapasiti apa dan atas mandat siapa. Jika tidak, maka isu ini akan terus menghantui kepimpinan parti dan mencetuskan persoalan lebih besar menjelang percaturan politik akan datang,” tegasnya.

Dalam konteks penyatuan Melayu, sumber itu menegaskan bahawa kejujuran dan keterbukaan tidak boleh dikorbankan demi percaturan jangka pendek.

“Tanpa mandat yang jelas, penyatuan hanyalah slogan kosong. Dan politik yang dibina atas rundingan senyap akhirnya akan memakan diri sendiri,” katanya.- SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat