KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan pengumuman caj baharu perkhidmatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu.
Menurut Fahmi, pihak PPUM tidak berbincang dengannya sebelum membuat pengumuman tersebut, berbeza dengan situasi pada 2019 dan 2021 di mana perbincangan dilakukan lebih awal.
“Saya telah memanggil pengurusan tertinggi PPUM untuk menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan kenaikan itu,” katanya.
Caj baharu itu merangkumi bayaran seperti wad maya (RM80), wad biasa dewasa (RM300), wad biasa pediatrik (RM270), wad kritikal dewasa (RM500), dan wad kritikal pediatrik (RM650).
Fahmi memaklumkan pihaknya sedang mencari penyelesaian bagi membantu penduduk sekitar Lembah Pantai dan Petaling Jaya yang terkesan, termasuk usaha mengumpul dana RM5 juta setahun melalui Tabung PPUM Care untuk membantu golongan B40 dan M40.