Polis tahan pasangan kekasih seludup dan edar dadah, rampas pistol

- Advertisement -

KUANTAN – Polis Kuantan menahan pasangan kekasih kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di daerah ini.

Pasangan berusia 23 dan 25 tahun itu ditahan di sebuah hotel bajet antara jam 12.30 tengah hari dan 1 petang, 13 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, serbuan dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuantan hasil risikan dan maklumat awam.

“Hasil tangkapan itu dan soal siasat awal, polis kemudiannya melakukan serbuan di sebuah bilik sewa dekat pekan Panching, dekat sini, pada hari yang sama.

“Serbuan dan pemeriksaan berkenaan berjaya merampas sejumlah dadah jenis ganja seberat kira-kira dua kilogram, syabu (279.1 gram) dan pil Yaba (14.35 gram).

“Kita juga merampas sepucuk pistol model Zoraki M906-TD bersama lima butir peluru,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, rampasan dadah dan pistol itu dianggarkan bernilai RM41,635.

Katanya, semua dadah yang dirampas itu boleh dipasarkan kepada 1,525 penagih.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai aktif menyeludup dan mengedar dadah sejak awal tahun lalu.

“Bekalan dadah dimiliki pasangan ini juga dipercayai dari daerah Kuantan dan kita sedang melakukan siasatan lanjut bagi mengenalpasti sumber (bekalan) dadah diperoleh mereka,” katanya lagi.

Dia turut memaklumkan polis menyita sebuah kereta Proton Iriz bernilai RM32,800 dan wang tunai RM1,000 daripada pasangan terbabit.

Kedua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39 A(1) ADB serta Seksyen 12(2) akta sama.

“Suspek lelaki berusia 25 tahun turut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan.

“Kita sedang siasat juga dari mana dia mendapat pistol dan tujuan dia memiliki senjata api itu,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, suspek direman selama tujuh hari bermula 14 Januari lalu bagi membantu siasatan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat