Tahun 2026 bakal dibuka dengan satu perayaan muzik serantau menerusi LOKALOKO 2026: Two Worlds, One Rhythm yang akan berlangsung pada 24 Januari 2026 di Zepp Kuala Lumpur. Acara ini menghimpunkan pemuzik dari Malaysia dan Indonesia dalam satu pentas dan satu hari penuh dengan dua suasana berbeza. Lebih daripada sekadar konsert, LOKALOKO hadir sebagai ruang pertemuan antara generasi, selera muzik dan budaya serumpun yang saling berkait.
LOKALOKO 2026 dibahagikan kepada dua sesi dengan karakter tersendiri. Sesi petang bermula jam 3 petang menampilkan Butterfingers bersama Amir Jahari. Gabungan ini mempertemukan semangat rock alternatif era 90-an dengan sentuhan akustik dan emosi yang lebih kontemporari. Butterfingers, yang sinonim dengan lagu-lagu ikonik seperti The Chemistry (Between Us) dan Faculties of the Mind, kembali ke pentas sebagai antara simbol penting muzik alternatif tempatan. Amir Jahari pula membawa sisi penceritaan yang lebih intim dan peribadi, menjadikan sesi ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu perjalanan emosi yang perlahan dan mendalam.
Apabila malam menjelma, pentas Zepp Kuala Lumpur akan berubah wajah. Sesi jam 8 malam bakal dimeriahkan oleh The Lantis dari Indonesia bersama FUGŌ. The Lantis hadir dengan bunyi retro-pop yang ceria dan mudah melekat, manakala FUGŌ membawa identiti nu-vintage yang segar dan artistik. Gabungan ini menjanjikan suasana yang lebih ringan, santai dan sesuai untuk crowd yang mahu menutup malam dengan vibe positif.

Di sebalik penyertaan mereka di LOKALOKO 2026, Butterfingers sebenarnya sedang melalui fasa yang cukup aktif. Tahun lalu, band ini mengambil langkah berani dengan menganjurkan sendiri konsert berskala besar di Johor. Pengalaman itu membuka mata mereka tentang bagaimana muzik Butterfingers masih diterima, bukan sahaja oleh peminat lama tetapi juga generasi baharu yang mungkin baru mengenali karya mereka.
Bagi Butterfingers, lagu lama tidak pernah menjadi beban. Sebaliknya, ia dianggap sebagai ruang untuk diberi nafas baharu. Walaupun lagu-lagu itu sudah berusia hampir 30 tahun, pendekatan persembahan yang berlapis-lapis, dari perlahan ke klimaks, menjadikan setiap konsert terasa segar. Mereka sendiri mengibaratkan setlist sebagai kuih lapis, dengan setiap lapisan membawa era dan rasa yang berbeza.

Soal lagu baharu pula masih dibincangkan dengan penuh berhati-hati. Dengan nama Butterfingers yang sudah dibina hampir tiga dekad, setiap karya baharu perlu benar-benar mencerminkan identiti dan karakter mereka. Bagi band ini, mengeluarkan lagu bukan sekadar tentang memenuhi kehendak pasaran, tetapi tentang kejujuran dan keserasian sesama ahli.
Dengan ulang tahun ke-30 yang semakin hampir, Butterfingers mengakui ada perancangan istimewa sedang difikirkan, termasuk pembawaan lagu-lagu lama yang jarang dimainkan serta kemungkinan kolaborasi. Penyertaan mereka di LOKALOKO 2026 bersama Amir Jahari dilihat sebagai sebahagian daripada perjalanan itu.
Tiket LOKALOKO 2026 dijual bermula RM148, dengan pilihan pakej standing yang menawarkan akses ke kedua-dua sesi pada harga istimewa. Diskaun turut ditawarkan kepada pemegang kad Maybank tertakluk kepada terma dan syarat. Dengan gabungan nama besar dan bakat baharu dari dua negara, LOKALOKO 2026 menjanjikan permulaan tahun yang penuh irama, nostalgia dan tenaga segar.
Maklumat tiket: ticketmelon.com/lokaloko/MY
Info lanjut: milestone-entertainment.com



