Oleh Zihan Zari
BATU PAHAT – Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah meluluskan RM6.19 juta, sehingga 30 November lalu bagi inisiatif Bina Baharu dan Baik Pulih Rumah Veteran ATM.
Inisiatif berkenaan merangkumi 53 permohonan bina baharu dan 209 permohonan baik pulih rumah seluruh negara termasuk lima permohonan baharu dan lapan baik pulih di Johor.
Ketua Pengarah JHEV ATM, Dato’ Hj. Semaon Marjuki berkata demikian pada majlis perasmian Rumah Bina Baharu di bawah Inisiatif Perumahan Veteran ATM Peringkat Negeri Johor di Kampung Parit Kadir Darat, Senggarang, dekat sini pada Isnin.
Turut hadir dalam majlis ini adalah ADUN Senggarang, Hj. Mohd. Yusla Ismail; Pengarah JHEV ATM Cawangan Johor, Mejar Johadi Jema’at; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM, Leftenan Kolonel Azwadi Jamian (Bersara), Pengarah Bahagian Kerjaya dan Sosioekonomi JHEV ATM, Irma Jasmin Ishak; Pengurus SPNB Johor, Sayful Jaafar; Naib YDP 1 merangkap KC PVATM Batu Pahat, Ramadan Abdul Aziz, dan Ketua Kampung Parit Kadir, Hasrin Sapin.
Semaon berkata, MINDEF melalui JHEV ATM sentiasa komited dalam memastikan inisiatif bantuan kebajikan, perubatan, pendidikan dan perumahan diteruskan dengan cekap dan berkualiti.
Menurut beliau, inisiatif bantuan perumahan telah diwujudkan bagi membantu Veteran ATM dari golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai rumah, atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah sendiri yang bersesuaian untuk dibina rumah yang sempurna.
Menurutnya lagi, bagi menyokong visi ini, MINDEF telah menyediakan 3 inisiatif bantuan perumahan iaitu melalui: Projek SASaR MINDEF – di mana kuota sebanyak 15% diperuntukkan untuk Veteran ATM, Program Bina Baharu, dan Program Baik Pulih Rumah Veteran.
“Bagi program Bina Baharu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM55,000 di Semenanjung, RM60,000 pula di Sabah manakala RM65,000 di Sarawak.
“Manakala, pihak Kementerian Kewangan (MOF) melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pula menyediakan subsidi sebanyak RM20,000 untuk setiap rumah yang dibina.
“Kos keseluruhan sebuah rumah bina baharu adalah RM75,000; RM80,000
dan RM85,000 masing-masing di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, ”katanya.
“Sehingga 31 November lalu, sebanyak 53 permohonan bina baharu dan 209 permohonan baik pulih telah diluluskan melibatkan peruntukan berjumlah RM6.19 juta.
“Bagi Johor, sebanyak 5 permohonan Program Bina Baharu telah diluluskan untuk tahun ini , manakala untuk permohonan Program Baik Pulih pula, sebanyak 8 permohonan rumah telah diluluskan.
“MINDEF secara konsistennya telah berusaha untuk meningkatkan peruntukan bantuan perumahan sejak tahun 2021 iaitu dari RM4.86 juta kepada RM6.18 juta pada tahun ini, ”katanya lagi.
Dalam pada itu, majlis ini menyaksikan penyerahan rumah bina baharu kepada empat penerima bantuan, iaitu balu kepada Veteran TLDM, Allahyarham Saniman Shiri iaitu Rokiah Salleh, 59; balu kepada Veteran Kor Perkhidmatan DiRaja, Allahyarham AY Nasir Arip iaitu Sahlawati Sulaiman; Pesara TUDM, Ahmad Othman, 66, dan Pesara Askar Wataniah (AW), Sabaruddin Md Salleh,58. – SUARA.TV