Ahli Parlimen PN nafi sokong PM kerana diancam tuduhan rasuah

- Advertisement -

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menafikan dakwaan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana diancam dengan tuduhan rasuah.

Memetik laporan The Star, Iskandar Dzulkarnain yang merupakan wakil rakyat pembangkang mempertahankan alasan berbuat demikian agar dana kerajaan dapat disalur kepada pengundi kawasannya dan bukan ditekan mana-mana pihak.

“Sepanjang perkhidmatan saya dalam kerajaan, tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah, apatah lagi rasuah,” katanya menerusi pesanan WhatsApp.

Iskandar Dzulkarnain juga mengakui memutuskan untuk menyokong Perdana Menteri kerana rakyat mahukan kestabilan politik.

Sebagai wakil rakyat, ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu memberitahu, beliau mengadakan pelbagai sesi libat urus dengan pengundi, daripada pelajar kepada guru, pemandu e-hailing, penjaja dan usahawan untuk mendengar masalah dan kebimbangan mereka.

“Dari sesi ini, saya mendapati bahawa ramai penyokong, rakan dan pengundi saya letih dan kecewa dengan ketidakstabilan politik. Mereka mahu melihat kerjasama politik wujud atas nama kestabilan.

“Saya berharap dengan keputusan ini, kerajaan akan menyediakan peruntukan kepada kawasan saya untuk manfaat dan kebajikan rakyat di kawasan saya,” ujarnya.

Iskandar Dzulkarnain, 46, yang memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga menegaskan bahawa beliau tidak akan meninggalkan atau mengkhianati partinya, Bersatu.

“Saya tidak akan meninggalkan parti saya dalam apa jua keadaan kerana saya setia kepada Bersatu,” tambahnya.

Sambil menyifatkan bahawa kebebasan memilih dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, Iskandar Dzulkarnain menggesa semua pihak untuk menghormati keputusannya dan berhenti membuat spekulasi.

Ketika ditanya sama ada beliau telah menghadiri sidang Dewan Rakyat sejak mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Iskandar Dzulkarnain masih membisu.

Sebelum ini, sumber Perikatan Nasional (PN) mendakwa mereka tidak melihat Iskandar Dzulkarnain sejak Khamis lalu iaitu sejurus mengisytiharkan sokongannya terhadap Kerajaan Perpaduan.

Sebagai tindak balas kepada pengumuman Iskandar Dzulkarnain yang menyokong Anwar, PN mendakwa bahawa bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu itu ditekan oleh kerajaan untuk menyokong kepimpinan Anwar.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa ahli Parlimen tersebut dibawa menemui seorang pegawai tertinggi sebuah agensi berkaitan kerajaan pada 1 Oktober lalu dan diancam dengan tuduhan rasuah jika beliau enggan menandatangani kenyataan yang menyatakan sokongannya kepada kerajaan. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat