KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan cabaran pasca kemerdekaan menuntut lebih daripada sekadar mengganti wajah penjajah.
“Apa gunanya penjajah diusir, jika penguasa tempatan yang menggantikannya berperangai sama – tamak haloba, rakus, menghina warna kulit dan menggunakan kekuasaan untuk meragut kekayaan?
“Inilah warisan sikap penjajah yang masih berterusan hingga kini.
“Kemerdekaan sejati bukan sekadar bebas jasad, tetapi merdeka jiwa dan pemikiran. Ia harus dibina dengan nilai, akhlak dan tatakelola yang baik, bukan dengan mengulangi kerakusan penguasa terdahulu,” tegas Anwar dalam ucapannya ketika meraikan Sambutan Hari Malaysia di Pulau Pinang bersama sahabat dari Sarawak dan Sabah serta seluruh Semenanjung, pada Selasa.
Jelas Perdana Menteri, kerangka Madani mengimpikan kemajuan yang seimbang dengan ekonomi rancak tetapi bersulamkan ihsan, rahmah dan nilai kemanusiaan.
“Kita mahu negara ini maju dalam teknologi dan tenaga baharu, namun jangan sesekali kita tinggalkan budaya, budi pekerti dan karamah insaniah.
“Dalam Malaysia yang merdeka, perpaduan adalah tonggak. Hak Melayu dan Bumiputera dijamin dalam Perlembagaan, tetapi kemajuan negara juga mesti berpaksikan kesaksamaan peluang bagi semua. Inilah yang membezakan kita daripada prasangka dan diskriminasi penjajah,” ujarnya.
Hari ini kita berdepan cabaran baharu, kata Anwar Dunia sedang bergolak, termasuk konflik di Palestin yang terus meragut nyawa.
“Pengajarannya jelas, hanya dengan bersatu, merapatkan jurang kaum, agama dan wilayah, kita mampu pertahankan kedaulatan negara tercinta.
“Alhamdulillah, Malaysia terus melangkah dengan kekuatan baharu. Pulau Pinang dan Johor muncul sebagai gergasi industri, Sarawak sebagai hab tenaga serantau dan Sabah dengan potensi pertumbuhan tertinggi. Setiap negeri punyai peranan untuk kemakmuran Malaysia.
“Semoga semangat Hari Malaysia yang diraikan saban tahun terus menyala, memandu langkah kita membina sebuah negara yang makmur, berdaulat dan berakhlak,” kata beliau.
Anwar memberitahu, Hari Malaysia bukan sekadar memperingati tarikh keramat 16 September, tetapi untuk kita menyingkap lembaran pengorbanan bapak-bapak dan ibu-ibu kita dari Semenanjung, Sabah hingga Sarawak yang berjuang menolak penguasaan asing dan menuntut kebebasan yang bermaruah.
“Kemerdekaan ini lahir daripada darah, air mata dan keringat, hasil perjuangan yang panjang dan penuh derita melawan kolonialisme dan imperialisme. Kita wajib mengenang keikhlasan dan ketabahan generasi terdahulu yang merintis jalan ini untuk kehidupan yang kita nikmati hari ini.
“Wawasan mereka jauh mendahului zaman. Tokoh-tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Temenggung Jugah, Tun Mustapha dan Tun Fuad Stephens bersama ramai lagi pejuang telah menyatukan kepelbagaian untuk membentuk Malaysia yang berdaulat,” katanya.



