Bawa kes Kampung Sg Baru ke Parlimen ketepi dulu perintah mahkamah pemaju roboh rumah usir penduduk

KUALA LUMPUR – Peranan Parlimen Malaysia adalah penting sekarang di bawah prinsip pemisahan kuasa untuk menyemak sama ada pihak Eksekutif yang kita panggil kerajaan dan pihak Kehakiman atau mahkamah telah melakukan kesilapan masing-masing sehingga ketidakadilan ditanggung oleh penduduk di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.

Peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya Hassan Abdul Karim berkata, apa yang patut dilakukan oleh penduduk yang terlibat yang masih ingin menuntut hak dan keadilan bagi mereka adalah satu kaedah yang pragmatik ialah dengan segera memfailkan satu permohonan untuk mengenepikan perintah mahkamah yang diberikan oleh Penolong Kanan Pendaftar kepada pihak syarikat Pemaju untuk meroboh rumah dan mengusir keluar penduduk yang mendiami rumah-rumah di Kampung Sungai Baru itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, penjelasan ini perlu dibuat ketika tulisan ini dikarang untuk menganalisa kekusutan undang-undang, kemungkinan kesilapan mahkamah dan kecuaian kerajaan dalam kes tanah dan rumah sehingga penduduk yang terlibat tidak mendapat keadilan.

“Fokus utama dalam tulisan ini ialah apa yang patut dilakukan oleh penduduk yang terlibat yang masih ingin menuntut hak dan keadilan bagi mereka.Satu kaedah yang pragmatik ialah dengan segera memfailkan satu permohonan untuk mengenepikan Perintah Mahkamah yang diberikan oleh Penolong Kanan Pendaftar kepada Pihak Syarikat Pemaju untuk meroboh rumah dan mengusir keluar penduduk yang mendiami rumah-rumah di Kampung Sungai Baru itu.

“Tulisan ini tidak pergi lebih jauh lagi untuk mengelakkan didakwa sebagai subjudis kerana kes Kampung Sungai Baru belum benar-benar selesai. Ada permohonan rayuan penduduk di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dimaklumkan akan didengar pada 3 Oktober ini.

“Kerajaan Persekutuan yang mentadbir sekarang perlu membawa ke Parlimen untuk menyelesaikan beberapa perkara perundangan berkait undang-undang tanah dalam kes Kampung Sungai Baru ini,” jelas Hassan.

Wakil rakyat PKR itu menyenaraikan persoalan adakah sah pewartaan tanah-tanah Kampung Sungai Baru di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 ketika negara diisytiharkan Dharurat di mana Parlimen Malaysia digantung dan Jemaah Menteri tidak bermesyuarat kerana Perintah PKP semasa wabak Covid-19?

“Kedua, Parlimen perlu meneliti dan menyemak Kanun Tanah Negara dibaca bersama dengan Kaedah-Kaedah Mahkamah.Adakah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan berkenaan peruntukan melindungi dan menghormati harta benda rakyat seperti rumah dan tanah dipatuhi sekiranya sekarang seperti yang berlaku di Kampung Sungai Baru satu Perintah ex-Parte yang diberikan bukan oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi tetapi sebaliknya hanya oleh seorang Penolong Kanan Pendaftar mahkamah memberikan legitimasi atau keabsahan untuk penduduk yang bukannya setinggan diusir dari rumahnya dan bangunan rumah mereka dirobohkan?

“Jadi peranan Parlimen Malaysia adalah penting sekarang di bawah prinsip pemisahan kuasa untuk menyemak sama ada pihak Eksekutif yang kita panggil kerajaan dan pihak Kehakiman atau Mahkamah telah melakukan kesilapan masing-masing sehingga ketidakadilan ditanggung oleh penduduk di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur,” ujar Hassan.

Menurut beliau, Malaysia sebuah negara merdeka yang ditegakkan atas asas undang-undang yang adil.

“Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama negara kita. Undang-undang yang digubal oleh Parlimen Malaysia boleh diisytiharkan tidak sah oleh mahkamah jika bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Rukun Negara bagi Malaysia telah meletakkan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sebagai dua prinsip dalam Rukun Negara.

“Mahkamah juga sama seperti Parlimen dan Badan Eksekutif yang kita panggil kerajaan tidak sunyi daripada membuat kesilapan.Sebab itu wujud prinsip kenegaraan yang dipanggil pemisahan kuasa antara tiga Cabang iaitu Eksekutif, Parlimen dan Kehakiman,” ulas beliau lanjut.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat