KUALA LUMPUR – Ibu pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir enggan melakukan bedah siasat walaupun telah diberi penjelasan beberapa kali.
Menurut Pegawai Perubatan Forensik, Dr. Logaraj Ratha, 35, beliau juga telah bertemu dengan ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat pada petang 17 Julai lalu yang turut ditemani dengan kakak iparnya, Nur Shira Abdullah dan menerangkan mengenai kepentingan melakukan bedah siasat.
Sewaktu penjelasan diberikan, Dr Logaraj memberitahu ibu Zara Qairina dalam keadaan tenang, boleh menjawab pertanyaan dengan jelas dan sedar akan keadaan sekeliling, masa dan individu yang berada pada ketika itu.
“(Saya jelaskan) walaupun borang Pol. 61 tidak dikeluarkan oleh pihak polis, proses bedah siasat klinikal sebenarnya masih boleh dijalankan tetapi tertakluk dengan kebenaran waris terdekat.
“Walau bagaimanapun, pihak waris, Puan Noraida membuat keputusan untuk bedah siasat tidak dijalankan ke atas jenazah Zara walaupun penerangan telah diberikan.
“Saya jelaskan sebanyak dua kali dan semasa Puan Noraidah mengisi surat akuan enggan bedah siasat Mayat atas kemahuan sendiri, saya masih memberikan penjelasan kepadanya mengenai kepentingan melakukan bedah siasat tersebut.
“Puan Noraidah memaklumkan dia telah memaklumkan pihak polis bahawa beliau tidak mahu bedah siasatan dijalankan. Puan Nur Shira juga bersetuju untuk tidak melakukan bedah siasat,” kata saksi inkues ketujuh itu, lapor Utusan di Kota Kinabalu pada Rabu.
Dr. Logaraj merupakan individu yang menerima jenazah Zara Qairina selepas remaja terbabit menghembuskan nafas yang terakhir kira-kira pukul 5 petang, 17 Julai lalu.
Selain itu, Dr. Logaraj dari Jabatan Perubatan Forensik di Hospital Queen Elizabeth (HQE) memberitahu, beliau juga telah memberikan penjelasan bahawa salah satu ruangan di dalam borang enggan bedah siasat menyatakan bahawa keluarga Zara tidak mengesyaki terdapat ‘foul play’ dalam kematian remaja terbabit.
“Dia (Noraidah) memberitahu saya dia faham dan menandatangani borang tersebut dengan rela hati,” katanya.
Pada petang yang sama, Noraidah turut memberitahu pegawai perubatan terbabit bahawa dia telah membuat satu laporan polis mengenai kematian anaknya pada hari yang sama.
“Dia (Noraidah) ada beritahu saya dia buat laporan polis pagi itu tetapi dia tidak mahu berikan salinan laporan polis itu kepada Jabatan Forensik,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Noraidah telah membuat satu laporan polis pada pagi 17 Julai lalu selepas mendapati kesan lebam di bahagian belakang badan anaknya.
Terdahulu, pegawai perubatan itu turut memberitahu bahawa pegawai penyiasat kes itu tidak akan mengeluarkan Borang Pol. 61 iaitu Borang Permintaan Pemeriksaan Mayat (bedah siasat).
Perkara itu dimaklumkan oleh Inspektor Wong Yew Zhung selepas berbincang dengan pihak atasannya dan atas alasan punca kematian telah diketahui.
“Inspektor Wong memaklumkan bahawa beliau telah berjumpa dengan Dr. Pavankumar Balachandran, pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Neurosurgeri yang mengesahkan bahawa punca kematian Zara adalah akibat Severe Traumatic Brain Injury with Hypoxic Ischemic Encephalopathy.
“Inspektor Wong turut memaklumkan bahawa beliau akan berbincang dengan pegawai atasan sebelum memberi maklum balas lanjut. Saya kemudiannya dimaklumkan oleh Inspektor Wong bahawa pihak polis tidak akan mengeluarkan borang Pol. 61 iaitu borang Permintaan Pemeriksaan Mayat dan pihak hospital boleh menyerahkan jenazah Zara kepada keluarganya tanpa melalui proses bedah siasat mediko-legal (kes membabitkan siasatan polis).
“Bagi pelepasan jenazah, saya telah menerima surat pelepasan atau kebenaran penyerahan jenazah daripada Inspektor Wong agar jenazah Zara diserahkan kepada Puan Noraidah Lamat tanpa melalui proses bedah siasat mediko-legal (apa2 kes di bawah siasatan polis),”katanya.
Prosiding masih berjalan.



