‘Mak Leha teruja jadi calon awal ABPBH 34’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penangan watak Mak Leha lakonan Liza Abdullah dalam drama 7 Hari Mencintaiku membawa pelakon yang mencipta nama sejak era 1980-an itu ke puncak populariti.

Di mana sahaja, karakter dibawa aktres bermata galak itu diperkatakan peminat, malah, mengundang rasa kebencian biarpun sekadar watak dilakonkan dalam drama dua musim itu.

Atas perhatian diraih, tidak hairanlah, ibu tunggal empat cahaya mata itu muncul antara 20 calon awal kategori online Watak Antagonis Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.

Pada ABPBH 33, Liza dicalonkan dalam kategori Artis Komedi Popular.

Liza berkata, melakonkan watak jahat atau antagonis bukanlah mudah disangka.

“Saya ini jenis susah marahkan orang. Jadi, kalau berlakon watak jahat, saya kena jadi sebaliknya. Ketika serap watak itu, saya ibarat pedulikan apa orang lain rasa dengan kejahatan dibawa,” katanya kepada BH Online.

Liza bagaimanapun percaya dalam drama Melayu, makian dan cercaan masih terkawal.

“Ditambah pengalaman, pengamatan, garapan skrip, sudut pengarahan dan rakan lakonan yang baik, sesuatu babak itu akan hidup,” katanya.

Liza berkata, sebagai pelakon, dia harus membiasakan diri dengan pelbagai perwatakan.

“Jahat, baik, kelakar adalah perkara yang saya harus buat berdasarkan skrip dan menyesuaikannya.

“Kalau diberi watak jahat, saya akan cuba jadi sejahat mungkin. Jahat tidak semestinya kena jadi ganas.

“Mainan dalam atau bahasa badan pun boleh. Macam watak Mak Leha, dia bukanlah jahat sebenarnya. Dia lebih terasa dianiayai menantu.

“Lalu, dia membalas dendam dengan cara tersendiri. Jahat dengan cara melontarkan kata kata nista tanpa perbuatan melampau.

“Dalam musim pertama drama itu, memang ada babak lempang dan pukul. Namun, pada musim kedua, karakter berbeza dipaparkan,” katanya.

 

Liza bersama rakan pelakon, Jasmin Hamid dan Anne Abdullah yang turut membintangi drama fenomena, drama 7 Hari Mencintaiku. - Foto IG Jasmin Hamid
Liza bersama rakan pelakon, Jasmin Hamid dan Anne Abdullah yang turut membintangi drama fenomena, drama 7 Hari Mencintaiku. – Foto IG Jasmin Hamid

 

Mengenai pencalonan dalam ABPBH 34, Liza bersyukur atas nikmat dan kesempatan diberi.

“Saya ini ibarat menumpang sudut dunia di hujung hujung sebenarnya. Tak pernah fikirkan soal anugerah.

“Namun, bohonglah tidak mahu dihargai dengan anugerah. Cuma nikmat yang tiada bandingannya apabila lakonan kita disedari dan dihargai.

“Macam tahun lalu, bolos kategori Artis Komedi Popular pun saya tidak sangka. Tahun ini kategori Watak Antagonis Popular pula. Tengok senarai calon lain, nampaknya saya yang paling ‘mudo’ (muda),” katanya berjenaka.

Bagi Liza, dapat menjadi calon awal ABPBH 34, sudah memadai dan menandakan kerja seninya diminati.

“Impak watak Mak Leha masih terasa sampai sekarang apabila diulang siar drama itu di TV9,” katanya.

Dalam perkembangan lain, teman baik Datuk Ziela Jalil dan Datuk Seri Shah Rezza ini bersyukur rezeki tidak putus pada era pandemik ini.

“Saya masih bekerja dari rumah untuk projek drama radio Nasional FM sepanjang tahun. Saya juga buat ulasan dan promosi produk di Instagram.

“Tiada rungutan atau hendak salahkan orang lain. Saya masih dimurahkan rezeki dan pada 22 September ini, jika tiada aral melintang, saya akan memulakan penggambaran drama Mr Bibik.

“Musim ketiga drama 7 Hari Mencintaiku juga bakal memulakan penggambaran, tidak lama lagi. Saya dan Kazar Saisi juga akan memulakan penggambaran drama 30 Hari Sebelum Ramadan, akhir tahun ini,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat