Azmi Caliph Buskers bakal dapat cahaya mata sulung

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Penyanyi dan anggota kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat teruja apabila isterinya Nazirah Muhammad bakal melahirkan anak pertama mereka menerusi kaedah pembedahan pada 27 September ini.

Azmi, 33, atau nama sebenarnya Khairul Azmi Mohd Saat berkata, selepas 10 tahun menantikan zuriat membuatkan dia mengambil langkah berjaga-jaga dan mengikut nasihat doktor supaya isterinya bersalin secara pembedahan.

“Alhamdulillah, kandungan isteri sudah mencecah 37 minggu. Ikutkan isteri dijangka bersalin secara normal pada 8 Oktober depan, tapi doktor cadangkan bersalin secara pembedahan sebab sudah 10 tahun kami tunggu cahaya mata. Takut tunggu lama, ada masalah pada bayi pula.

“Apabila lakukan pembedahan yang dirancang ini, kurang risiko pada bayi. Jadi, kami ikut saranan doktor. Kami diberi pilihan tarikh dari 23 hingga 28 September. Jadi, saya pilih 27 September sempena hari lahir saya. Kebetulan isteri memang nak bayi lahir hari Jumaat atau Isnin. Tarikh itu jatuh pada hari Isnin,” katanya.

Menurut Azmi, dia sanggup menggunakan wang simpanan untuk pembiayaan proses bersalin di hospital swasta.

“Insya-Allah isteri akan bersalin di sebuah hospital swasta. Kalau nak ikutkan, dalam keadaan sekarang soal pembiayaan itu memang agak susah. Tapi memikirkan anak sulung dan belum tentu selepas ini ada rezeki lagi, tidak apa saya sanggup berkorban. Lagipun, demi nak hargai isteri saya juga.

“Dia sudah mengandung dan nak melahirkan anak saya. Kalau bersalin di hospital kerajaan, suami tak boleh teman. Isteri nak saya ada waktu bersalin. Jadi, saya gunakan duit simpanan dan duit untuk buat ubah suai rumah selain isteri pun ada tambah duit dia juga untuk pembiayaan nanti,” katanya.

Azmi mendirikan rumah tangga dengan Nazirah yang juga cacat penglihatan pada 2011.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat