KUALA LUMPUR – Penasihat DAP Lim Guan Eng, memberi jaminan parti itu akan bersatu di bawah pimpinan Anthony Loke yang dipilih semua sebagai Setiausaha Agung.
Guan Eng turut menghargai kebimbangan dizahirkan ahli parti dan penyokongnya berhubung kedudukan beliau dalam pentadbiran baharu.
“Ramai yang menyuarakan kebimbangan mengenai pelbagai laporan berkaitan saya.
“Saya hanya ingin mengambil sedikit masa untuk mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong dan juga kepada mereka yang tidak menyokong saya.
“Terima kasih atas keprihatinan dan dorongan anda. Dari lubuk hati paling dalam, saya sangat menghargainya,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Guan Eng yang gagal mempertahankan jawatan Pengerusi Kebangsaan DAP, turut mengucapkan tahniah kepada Gobind Singh Deo yang mengisi jawatan berkenaan.
“Tahniah kepada Anthony Loke kerana dilantik semula sebagai Setiausaha Agung dan kepada Gobind Singh Deo kerana dilantik sebagai Pengerusi Kebangsaan yang baharu.
“Semoga kedua-duanya berjaya dan yakinlah kita akan bersatu di bawah Loke. Mari kita terus maju bersama untuk menjadikan DAP lebih kuat,” katanya.
Guan Eng gagal mempertahankan jawatan disandangnya sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP, pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baharu, semalam.
Ahli Parlimen Bagan itu sebaliknya dilantik sebagai Penasihat DAP bagi menggantikan penyandangnya, Tan Kok Wai, yang mengumumkan penarikan diri daripada bertanding.