KUALA LUMPUR – Polis mengadakan latihan pengurusan dan pengendalian krisis keganasan melibatkan Pasukan Gerakan Khas 69 Komando di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, latihan dikenali ‘Ex Kurung’ itu bagi menguji tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan dan agensi berkaitan dalam menghadapi ancaman keganasan.
Menurutnya, latihan bermula dengan simulasi serangan kumpulan bersenjata yang kononnya menawan seorang pensyarah serta beberapa pelajar sebagai tebusan.
“Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menerima laporan berhubung kejadian jam 9.04 pagi.
“Ini adalah sebahagian daripada senario latihan bagi menilai kecekapan pihak berkuasa dalam menangani krisis seperti yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, latihan yang turut melibatkan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) itu menyaksikan penyertaan pelbagai aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU).
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik atau menyebarkan spekulasi tidak tepat mengenai latihan tersebut.
“Latihan sebegini dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan pelan tindakan pengurusan krisis berjalan lancar serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.
Terdahulu, tular gambar di aplikasi WhatsApp memperlihatkan lelaki bertopeng dan bersenjata dalam keadaan mencurigakan berada dalam kawasan politeknik.
Turut dikongsi beberapa video yang memperdengarkan bunyi tembakan serta keadaan cemas seakan-akan pelajar sedang berlari dan bersembunyi untuk menyelamatkan diri.