Palestin perlu diterima sebagai anggota penuh PBB, langkah penting iktiraf hak asasi – Fahmi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia sentiasa konsisten dalam memperjuang hak setiap rakyat Palestin termasuk mendesak supaya negara itu diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata penyertaan Palestin sebagai negara anggota penuh PBB merupakan langkah penting dalam mengiktiraf hak-hak asasi mereka dan memperjuang penyelesaian konflik yang melanda negara itu.

“Sebagai anggota penuh PBB, rakyat Palestin berupaya untuk menjadi pemegang taruh dalam proses pembuatan keputusan yang bakal mempengaruhi masa depan mereka.

“Demi keadilan dan kesejahteraan bagi rakyat Palestin, mari kita bersama-sama bersuara untuk mendesak agar hak mereka sebagai anggota penuh PBB dapat menjadi satu kenyataan,” menurutnya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Hantaran itu diiringi beberapa keping gambar yang menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani dan mengirim sekeping poskad khas kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

Kandungan poskad itu antara lain menzahirkan hasrat rakyat Malaysia agar PBB menerima Palestin sebagai anggota penuh serta menuntut keganasan dan kezaliman terhadap warga Palestin oleh rejim Zionis dihentikan segera.

Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, berkata penyertaan Palestin sebagai negara anggota penuh PBB akan membuka ruang kepada sumber daya dan perwakilan politik diperlukan di peringkat antarabangsa untuk memperjuang kepentingan penduduk wilayah itu secara efektif.

Beliau berkata sokongan serta dorongan amat diperlukan untuk memajukan pembangunan sosial, budaya dan ekonomi di bumi keramat itu.

“Aspirasi dan impian warga-warga Palestin harus didengari dan dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.

Terdahulu, Anwar menerusi hantaran di laman Facebook beliau mengajak seluruh rakyat untuk turut serta dalam kempen Pengiriman Poskad Khas Palestin Merdeka kepada Guterres sebagai menzahirkan hasrat penduduk Malaysia supaya badan dunia itu menerima Palestin sebagai anggota penuhnya.

Menurut Perdana Menteri, rakyat boleh berbuat demikian dengan membeli poskad itu mulai esok di semua pejabat pos atau menerusi laman sesawang rasmi Pos Malaysia Bhd. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat