KUALA LUMPUR – Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menasihatkan sebagai orang politik seseorang individu itu mesti mempunyai kekuatan untuk berdepan dengan segala cabaran.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan mengingatkan supaya ahli-ahli politik tidak manja dan memanfaatkan keistimewaan dalam berparti politik.
“Berkait budaya cah keting dalam Umno, ini soal mana-mana pertubuhan macam-macam budaya ada. Dan sebagai orang politik kita mesti mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan segala cabaran.
“Kita tak boleh lah bermanja-manja masuk parti, kita tidak boleh berharapkan keadaan yang ada keistimewaan dan sebagainya.
“Jadi apa pun dalam sebuah organisasi yang besar yang ahli ramai macam-macam budaya dan di sinilah kita didedahkan dan kita membina kekuatan kita memahami dan mengatasi cabaran-cabaran yang kita hadapi,” katanya ketika sidang media di Parlimen pada Isnin.
Khaled bagaimanapun tidak menafikan atau mengiyakan wujudnya budaya cah keting itu dalam Umno.
“Jadi, saya nak kata tak ada, ada, saya nak kata ada, tak ada…jadi masing-masinglah,” ujar Khaled.
Untuk rekod, cah keting adalah istilah dalam dialek Kelantan yang sama maksudnya dengan hasad dengki dan cantas mencantas. Istilah ini juga digunakan untuk merujuk kepada sabotaj dari dalam parti sendiri.
Sementara itu, ditanya berkait kenyataan media yang diterbitkan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkait penghijrahan ke PKR, Khaled memberitahu Umno belum berhasrat mengambil sebarang tindakan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu.
Hal ini memandangkan tiada perbincangan rasmi menjurus ke arah itu.
“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pun kata cuma berbual begitu saja.
“Tengku Zafrul pun kata tiada perbincangan rasmi, jadi pimpinan tertinggi Umno pun tiada kenyataan rasmilah.
“Tindakan terhadap Tengku Zafrul? Kita belum sampai ke peringkat itu,” kata Khaled.