Kenapa perlu swastakan MAHB jika prestasi sudah hebat, sebenarnya siapa untung, siapa rugi? – Pas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pas mempertikai keputusan kerajaan yang bertegas mahu menswastakan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedangkan entiti itu mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan bagi suku tahun yang berakhir pada 30 September 2024 bahkan keuntungan bersihnya melonjak lebih dua kali ganda kepada RM210.4 juta berbanding RM94.7 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari berkata, mempersoalkan kenapa MAHB perlu diswastakan jika prestasi sudah hebat?

“Dengan semua indikator kewangan dan operasi yang memberangsangkan ini, timbul persoalan: Perlu ke kita swastakan MAHB? Kalau syarikat ini dah mencatat keuntungan dua kali ganda, pendapatan meningkat, kualiti perkhidmatan diiktiraf di peringkat global, dan jumlah penumpang pun dah hampir pulih ke paras pra-pandemik, kenapa masih perlu diswastakan?

“Sebagai rakyat dan pembayar cukai, wajar kita bertanya: Siapa yang benar-benar untung? Adakah rakyat Malaysia atau entiti swasta tertentu? soal beliau dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Susulan itu Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mendesak kerajaan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) perlu menjelaskan kepada rakyat, adakah ini satu langkah untuk memaksimumkan nilai kepada negara atau sekadar satu lagi episod “jual murah aset negara” kepada pihak berkepentingan tertentu.

“Kalau MAHB ini terus mencatat untung dua kali ganda, meningkatkan pengiktirafan antarabangsa dan berjaya pulih ke paras pra-pandemik, apa rasionalnya mahu diswastakan?

“Rakyat layak tahu. Rakyat layak bertanya dan rakyat layak mendapat jawapan yang telus,” gesa beliau.

Mengulas lanjut, Fadhli berkata peningkatan untung MAHB ini didorong oleh kenaikan pendapatan sebanyak 20 peratus, iaitu kepada RM1.53 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, menurut Laporan Kewangan Suku Tahunan MAHB Q3 2024, pencapaian ini disifatkan sebagai bukti kecekapan pengurusan dan pemulihan industri penerbangan pasca-pandemik.

“Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2024, MAHB mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM606 juta hasil daripada pendapatan berjumlah RM4.3 bilion. Ini merupakan lonjakan besar berbanding keuntungan RM255.5 juta daripada pendapatan RM3.5 bilion pada tempoh yang sama pada tahun 2023 — satu petunjuk kepada peningkatan besar dalam margin keuntungan kasar. Menurut Laporan Kewangan Sembilan Bulan Pertama MAHB 2024, pencapaian ini menunjukkan peningkatan ketara dalam kecekapan operasi serta pengurusan kos yang lebih baik.

“Prestasi kewangan cemerlang ini turut disokong oleh pengiktirafan global, di mana MAHB menerima penarafan tertinggi bagi Kualiti Perkhidmatan daripada kajian Airport Service Quality (ASQ) yang melibatkan 355 lapangan terbang di seluruh dunia. Menurut Laporan Penarafan Airport Service Quality (ASQ) 2024, pengiktirafan ini meletakkan MAHB sebaris dengan lapangan terbang terbaik dunia. Pendek kata, dari segi operasi, untung besar, dari segi kualiti, taraf dunia – tapi peliknya masih mahu diswastakan,” soal beliau.

Manakala dari aspek operasi, MAHB juga menunjukkan pertumbuhan positif dari segi pengendalian penumpang. Sebanyak 36.1 juta penumpang telah melalui lapangan terbang yang dikendalikan oleh MAHB pada suku ketiga 2024 — peningkatan 10 peratus berbanding suku yang sama pada tahun 2023. Menurut Laporan Prestasi Pengendalian Penumpang MAHB Q3 2024, jumlah ini hampir menyamai paras pra-pandemik, membuktikan pemulihan operasi yang kukuh. Kalau prestasi sudah kembali pulih dan trafik penumpang meningkat, bukankah lebih masuk akal untuk mengekalkan model pengurusan sedia ada?

“Projek Penswastaan RM10.79 Bilion: Siapa Untung? Menurut Laporan MAVCOM Mengenai Kelulusan Penswastaan MAHB, MAVCOM telah meluluskan penswastaan MAHB yang bernilai kira-kira RM10.79 bilion, yang akan dilaksanakan oleh Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA). Soalannya ialah, adakah nilai RM10.79 bilion ini benar-benar mencerminkan nilai sebenar MAHB?

“Jika kita lihat prestasi kewangan dan pertumbuhan penumpang, agak sukar untuk menerima bahawa RM10.79 bilion adalah penilaian yang adil. Malah, MAHB juga telah menandatangani perjanjian konsesi baharu pada Mac 2024 dengan kerajaan Malaysia, yang melanjutkan hak operasi mereka ke atas 39 lapangan terbang sehingga Februari 2069.

“Menurut Pengumuman Perjanjian Pengendalian dan Pajakan Tanah MAHB 2024, perjanjian ini memberikan MAHB jaminan pengendalian lapangan terbang untuk tempoh tambahan yang sangat panjang. Dengan tempoh konsesi yang begitu panjang, adakah ia diambil kira dalam penilaian penswastaan ini? ujar Fadhli lagi.

Lebih menarik, kata beliau tiada pendedahan tentang model penilaian yang digunakan oleh Gateway Development Alliance (GDA) dalam menentukan nilai ini. Adakah GDA menggunakan kaedah Discounted Cash Flow (DCF), Enterprise Value (EV) atau kaedah “ikut suka aku”?

“Menurut Kenyataan Rasmi Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA), tiada maklumat terperinci mengenai metodologi penilaian. Kalau ikut logik akal, sepatutnya model penilaian ini telus dan diperjelaskan kepada rakyat, memandangkan aset yang dipindahkan adalah milik negara.

“Siapa untung, siapa rugi? Kalau dilihat, rakyat mungkin tergolong dalam kumpulan “siapa rugi”. Rakyat akan kehilangan kepentingan dalam aset negara yang jelas menguntungkan. Lebih mengecewakan, apabila penswastaan ini dilakukan tanpa justifikasi yang jelas mengenai bagaimana ia boleh “menambah nilai” kepada negara.

“Menurut Laporan MAVCOM Mengenai Kelulusan Penswastaan MAHB, tiada sebarang penjelasan konkrit diberikan tentang manfaat tambahan yang akan diperoleh oleh kerajaan atau rakyat Malaysia.

“Kalau kita imbas kembali, projek penswastaan di Malaysia sering kali berakhir dengan “kerajaan tanggung rugi, pemilik swasta kaut untung”. Projek tol, lebuh raya, elektrik, dan air – semuanya bermula dengan janji manis, tapi akhirnya rakyat juga yang terpaksa membayar lebih mahal.

“Persoalan penting untuk dijawab iaitu, ddakah nilai penswastaan sebanyak RM10.79 bilion ini benar-benar adil? Melihat kepada keuntungan dan pertumbuhan, adakah ini nilai terbaik yang boleh diperoleh?

“Adakah lanjutan konsesi sehingga 2069 diambil kira dalam penilaian? Jika tidak, maka kita mungkin menghadapi satu lagi episod “jual murah aset strategik negara.”

“Model penilaian mana yang digunakan oleh GDA? Adakah model itu mengambil kira potensi pendapatan masa hadapan? Jika ya, kenapa nilainya hanya RM10.79 bilion?

“Siapa yang benar-benar untung daripada penswastaan ini? Adakah rakyat atau pihak tertentu yang ‘berminat’ dalam Gateway Development Alliance Sdn Bhd? Jika dinilai dari segi keuntungan, pertumbuhan penumpang, pengiktirafan kualiti perkhidmatan dan lanjutan konsesi, MAHB adalah aset yang strategik dan menguntungkan. Jadi, kenapa ia perlu diswastakan? RM10.79 bilion mungkin nampak besar, tapi adakah ia nilai sebenar? soal Fadhli lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat