Kam Lung Motor Group umum pengurusan baru Ford Petaling Jaya, serta memperkenalkan Next Generation Ford Ranger Raptor

Industri automotif tempatan menyaksikan perkembangan menarik apabila Kam Lung Motor Group (KLM), kumpulan automotif premium yang berpengkalan di Hong Kong, secara rasmi mengumumkan pengambilalihan dan pengurusan baharu bagi Ford Petaling Jaya. Acara eksklusif bersama rakan media ini menandakan fasa penting dalam strategi pengembangan KLM di Malaysia, selain turut memperkenalkan secara rasmi varian terkini Next Generation Ford Ranger Raptor Sport 3.0L V6 kepada pasaran tempatan.

KLM, yang ditubuhkan pada tahun 1983, mempunyai reputasi kukuh dalam operasi rangkaian pusat 4S di Greater Bay Area dan Southern China. Dengan lebih daripada 30 buah fasiliti 4S di bawah pengurusannya, kumpulan ini telah membina nama sebagai pengedar bagi pelbagai jenama automotif mewah antarabangsa. Pengembangan ke Malaysia melalui pengambilalihan Ford Petaling Jaya dianggap sebagai langkah strategik untuk memperkukuh lagi kedudukan mereka di rantau Asia Tenggara.

Dalam sesi taklimat bersama media, Pengarah Urusan Kam Lung Motor Group, Peter Goh, mengupas secara mendalam hala tuju dan visi organisasi selepas mengambil alih Ford Petaling Jaya. Beliau menjelaskan bahawa langkah ini hanyalah permulaan dalam perancangan jangka panjang KLM.

Menurut beliau, syarikat sedang mengorak langkah untuk berkembang menjadi kumpulan multi-jenama di Malaysia. Ford berfungsi sebagai asas pengembangan tersebut, dan KLM kini dalam fasa penilaian untuk membawa masuk lebih banyak francais automotif di bawah satu rangkaian pengurusan bersepadu. Beliau turut menekankan bahawa teknologi masa depan, khususnya kenderaan elektrik (EV), sedang diberi perhatian serius. KLM melihat potensi besar dalam pasaran EV dan merancang untuk melabur dalam sokongan infrastruktur, teknologi servis serta rangkaian produk yang mampu memenuhi permintaan pengguna pada masa hadapan.

Selain hala tuju pengembangan jenama, fokus utama KLM dalam pengurusan baharu Ford Petaling Jaya adalah peningkatan fasiliti dan perkhidmatan selepas jualan. Peter Goh turut mengesahkan bahawa pusat Ford Petaling Jaya sedang dalam perancangan untuk menjalani kerja pengubahsuaian besar-besaran. Renovasi tersebut melibatkan pembangunan tingkat pertama bangunan dengan tambahan sekitar 30,000 kaki persegi. Ruang baharu ini akan merangkumi kawasan pameran yang lebih luas serta bengkel perkhidmatan yang lebih besar dan efisien. Dengan penambahan ruang dan kemudahan yang lebih moden, KLM yakin dapat memberikan perkhidmatan selepas jualan yang lebih menyeluruh, cepat dan berstandard antarabangsa.

Beliau turut menyatakan komitmen penuh kepada para pemilik Ford bahawa semua bentuk servis, penyelenggaraan, pembaikan dan sokongan teknikal akan ditawarkan tanpa kompromi. Penekanan terhadap perkhidmatan selepas jualan yang berkualiti adalah antara faktor utama yang telah menjadikan KLM sebuah nama yang dipercayai di pasaran Greater Bay Area, dan komitmen sama akan diteruskan di Malaysia.

Acara diteruskan dengan pengenalan varian terbaru Ford Ranger Raptor Sport, model Ranger Raptor paling canggih setakat ini. Walaupun ini bukan pelancaran rasmi, sesi ini memberikan gambaran awal kepada media tentang ciri, reka bentuk, dan teknologi model terkini.

Varian terbaru ini menampilkan reka bentuk luaran yang lebih garang dan moden, dengan Signature Ranger Raptor Grille, lampu hadapan C-Clamp Matrix LED, serta garis badan aerodinamik. Rekaan ini bukan sahaja menambah estetika, tetapi juga meningkatkan prestasi aerodinamik kenderaan

Dari segi prestasi, Ranger Raptor Sport dilengkapi enjin 3.0L V6 Twin Turbo Ecoboost, yang mampu memberikan kuasa tinggi untuk pemanduan bandar dan pengembaraan off-road. Model ini juga dilengkapi 17” Beadlock Style Wheels, decal Raptor Sport, dan Raptor Sport Hoop. Casis lebih kukuh, sistem suspensi diperhalusi, dan teknologi kawalan pemanduan terkini menjadikan Raptor sesuai untuk cabaran off-road ekstrem.

Bahagian dalaman model ini turut ditambah baik, menampilkan panel digital penuh, sistem infotainmen terkini Ford, kemasan premium, dan susun atur ergonomik. Kombinasi teknologi moden dan rekaan dalaman elegan menjadikan pengalaman pemanduan lebih selesa dan mewah.

Harga jualan rasmi Ford Ranger Raptor Sport 3.0L V6 Ecoboost 4WD 10AT ialah RM 273,888.00. Bagi meraikan pengenalan varian terbaru ini, KLM menawarkan pelbagai faedah:

  • Rebat sehingga RM3,000 dan satu servis percuma untuk tempahan dari 15 hingga 30 November 2025
  • Diskaun 50% bagi minyak enjin, penapis minyak, dan kos buruh untuk pelanggan sedia ada (tertakluk kepada terma dan syarat)
  • Kehadiran pihak bank di lokasi untuk kelulusan pinjaman segera
  • Cenderamata Ford percuma, sementara stok masih ada

Sebagai sebahagian daripada acara, KLM menyediakan Family Fun Zone dengan aktiviti kanak-kanak, permainan, dan pertandingan mewarna sepanjang hujung minggu. Langkah ini sejajar dengan visi KLM bahawa pengalaman Ford harus dikongsi merentas generasi, dan bahawa kepuasan pelanggan adalah teras kepada setiap inisiatif mereka.

Peter Goh menegaskan bahawa pelanggan setia Ford merupakan asas kukuh jenama ini:

“Kami berterima kasih kepada pelanggan setia Ford, dan di bawah pengurusan baharu, kami komited untuk meningkatkan pengalaman pemilikan mereka. Bagi mereka yang ingin menyertai keluarga Ford, tidak pernah ada masa yang lebih baik.”

Beliau menutup ucapan dengan menyatakan bahawa acara ini bukan sekadar soft launch, tetapi menandakan permulaan bab baharu bagi Ford di Malaysia:

“Acara ini menandakan permulaan bab baru apabila Kam Lung Motor Group membawa legasi kecemerlangan mereka ke Malaysia dengan komitmen terhadap perkhidmatan cemerlang, hubungan bermakna, dan penglibatan komuniti.”

Dengan pengumuman pengurusan baharu dan pengenalan varian Ranger Raptor terbaru, Ford Petaling Jaya kini berada di landasan baharu untuk memperkukuh kedudukannya dalam pasaran automotif Malaysia, sambil menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih premium dan mesra pelanggan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat