KUALA LUMPUR – Ketua Umno Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menuntut perbincangan segera kelompongan Akta Anti Lompat Parti sekali gus
berharap transformasi institusi Parlimen untuk segera diterjemahkan demi keutuhan badan legislatif yang lebih kemas dan dihormati.
“Saya mohon agar senario kegelabahan ini dihentikan dengan serta merta. Ahli-ahli Parlimen, tidak kira dari blok pembangkang ataupun kerajaan kena kembali ke meja rundingan.
“Bincang dengan segera kelompongan akta lompat parti,” katanya di Facebook, semalam.
Shaiful Hazizy berkata, perbincangan membabitkan isu peruntukkan kepada ahli-ahli Parlimen juga harus diperincikan bagi memastikan manfaat tersebut diperolehi rakyat.
Jelas beliau ia bagi memastikan ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak menggunakan alasan murahan untuk kepentingan mereka.
“Saya juga sangat berharap agar isu peruntukan Perdana Menteri kepada ahli-ahli parlimen juga perlu segera dimuktamadkan, kenapa tak nak berbincang dengan lebih lanjut?
“Dengar dulu cadangan wakil kerajaan daripada terus melompat-lompat dan lontar kata-kata kesat dan pada masa yang sama membuat aksi play victim” murahan.
“Jangan sombong dan bongkak, kena terbuka melihat segala pilihan yang diberikan,” katanya.
Terdahulu, beberapa ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengumumkan memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri iaitu Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Zahari Kechik (Jeli) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).
Rata-rata daripada mereka menyatakan sokongan tersebut bertujuan untuk memastikan kebajikan penduduk di kawasan terbela serta pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.