KUALA LUMPUR – Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Cheras (HCTM) berjaya mencipta sejarah apabila menjadi hospital pengajar universiti pertama di Malaysia dapat melaksanakan prosedur penanaman perentak jantung tanpa wayar melalui saluran darah di leher untuk dua pesakit warga emas.
Prosedur berkenaan dijalankan menggunakan teknologi Micra Leadless Pacemaker itu disempurnakan pada 14 Oktober lepas ke atas seorang lelaki berusia 70-an dan wanita berusia 80-an yang mengalami masalah denyutan jantung perlahan.
Dalam satu kenyataan, HCTM berkata kedua-dua pesakit menjalani pemeriksaan dan penilaian menyeluruh oleh pakar elektrofisiologi HCTM sebelum disahkan sesuai menjalani prosedur berkenaan.
“Pasukan perubatan diketuai Pakar Kardiologi dan Elektrofisiologi HCTM, Dr. Mohd Asyiq Al-Fard Mohd Raffali berjaya menempatkan peranti itu ke dalam jantung kedua-dua pesakit dengan hanya satu cubaan.
“Prosedur berkenaan turut mendapat bimbingan dan kerjasama teknikal pakar antarabangsa, Prof. Dr. Liu Jun dari Shenzhen Hospital, Chinese Academy of Medical Sciences, China,” menurut HCTM.
Secara konvensional, perentak jantung tanpa wayar dimasukkan melalui salur darah di bahagian lipatan paha.
Kaedah berkenaan tidak sesuai untuk pesakit tertentu, khususnya mereka yang mengalami salur darah tersumbat, struktur anatomi kompleks atau keterbatasan fizikal.
Sebaliknya, kaedah transjugular access membolehkan peranti itu dimasukkan melalui urat leher sebagai laluan pilihan untuk mencapai ventrikel kanan jantung.
Penggunaan akses melalui leher juga membolehkan pesakit bergerak dan berjalan lebih awal selepas prosedur berbanding kaedah melalui paha yang memerlukan mereka baring untuk tempoh tertentu.


