Isu Guru Tular: PM Harap Keputusan Menang-Menang Dicapai

- Advertisement -

BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap situasi menang-menang dapat dicapai dalam isu melibatkan guru Mohd Fadli Mohamed Salleh dengan Kementerian Pendidikan, yang tular di media sosial Facebook sejak semalam.

Beliau berkata dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pagi tadi dan telah berhubung dengan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkhairuddin Ghazali pada petang ini, bagi mendapatkan penjelasan berhubung kejadian tersebut.

Jawatankuasa disiplin kementerian juga, menurut Ismail Sabri akan bersidang esok, berhubung isu tersebut, yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

“Surat tunjuk sebab adalah perkara biasa dalam jabatan kerajaan, namun saya berharap keputusan positif akan dicapai pada mesyuarat esok. Insya-Allah apa yang digambarkan dalam surat itu atau di media sosial seperti akan dipecat, diturunkan pangkat dan sebagainya tidak akan berlaku.

“Pihak kementerian tidak boleh melepaskan kakitangan yang mengeluarkan komen (di media sosial) namun dalam masa sama, hukuman yang terlalu keras kepada pegawai dan kakitangan juga tidak wajar, selain pegawai dan kakitangan juga perlu menghormati kementerian,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Moh Ngeteh Bersama Masyarakat India Parlimen Bera di Dewan Kompleks UMNO Bera di sini hari ini.

Beliau juga berpandangan kementerian dalam menjaga integriti mereka, juga perlu mendengar pandangan bukan hanya daripada guru, tetapi juga masyarakat dan berdasarkan reaksi yang diterima selepas isu tersebut tular, ramai yang memberikan maklum balas negatif.

Semalam, Mohd Fadli guru Matematik di sebuah sekolah rendah di Gombak menerusi Facebooknya mendakwa beliau akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

Beliau turut menyatakan bilangan murid di dalam kelas terlalu ramai selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat yang katanya boleh memudaratkan kesihatan murid.

Bagaimanapun menurut surat yang dimuat naik guru berkenaan, Mohd Fadli diberikan tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan surat itu untuk mengemukakan representasi kepada Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan untuk membela diri.

Hari ini, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan menyatakan kesediaan untuk berjumpa guru tersebut menerusi hantaran di akaun Facebook beliau. Mohd Fadli juga menerusi status terbarunya di akaun media sosial menyatakan akan berjumpa Radzi pada suatu hari nanti. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,482FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat