Disney+Hotstar bekerjasama terbitkan Ejen Ali Musim 3

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Primeworks Studios dan WAU Animation bekerjasama dengan Disney+ Hotstar dalam penerbitan siri animasi Ejen Ali Musim 3.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima berkata, Nini Yusof berkata, pihaknya sangat berbangga kerana berpeluang terbabit dalam perjalanan Ejen Ali sejak awal produksi dan kini menjalinkan perjanjian kerjasama penerbitan animasi pertama bersama Disney+ Hotstar.

“Memandangkan antara fokus perniagaan kami adalah untuk menyokong perkembangan hasil karya penggiat animasi Malaysia ke pentas global, kami percaya bahawa penerimaan meluas filem dan siri animasi Malaysia membuktikan tenaga kerja seperti WAU Animation dan hasil karya mereka amat berkualiti tinggi.

“Terima kasih Disney+ Hotstar atas peluang usahasama ini dan kami akan terus menyokong penggiat industri hiburan Malaysia serta sentiasa mencari ruang untuk mengembangkan perniagaan kandungan di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation dan Pengarah Ejen Ali, Usamah Zaid Yasin berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan kerjasama ini.

“Kami amat berbesar hati kerana Disney+ Hotstar bersetuju menjadi penerbit bersama Ejen Ali Musim 3 kerana ia adalah sebuah pengiktirafan besar untuk jenama Ejen Ali. Kerjasama ini juga adalah sebuah impian tercapai oleh warga WAU Animation dalam usaha kami untuk memperkenalkan seorang watak wira Malaysia yang dicipta mengikut cita rasa dan pengaruh budaya tempatan.

“Filem animasi Disney banyak memberi inspirasi kepada kami. Jadi, kami berharap kemunculan Ejen Ali dalam kalangan watak animasi ikonik Disney pula bakal memberi inspirasi kepada generasi pengkarya Malaysia yang seterusnya. Kami sememangnya tidak sabar untuk melihat reaksi peminat apabila misi Ali seterusnya diumumkan pada 2022,” katanya.

Kerjasama itu adalah penanda aras yang sangat membanggakan dan pencapaian yang mengagumkan untuk industri animasi Malaysia, kerana Ejen Ali adalah harta intelek animasi Malaysia yang pertama terpilih untuk kerjasama produksi oleh Disney+ Hotstar yang juga platform striming terbesar di dunia.

Siri animasi yang turut merangkul pelbagai anugerah ini dijangka akan muncul di layar skrin anda tahun depan di empat buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Dalam Ejen Ali Musim 3, Ejen Ali dan rakan-rakannya Ejen muda dari Akademi MATA disatukan semula dalam sebuah pertandingan rahsia di Arena MATA.

Pertandingan ini turut disertai beberapa orang rekrut Akademi MATA yang dilatih oleh agensi perisik antarabangsa.

Latar belakang cerita dan plot Ejen Ali Musim 3 berlangsung selepas peristiwa dalam Ejen Ali The Movie, yang sudah mencipta sejarah dengan meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM30 juta di layar perak dan platform on-demand di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia sekali gus menjadikannya filem animasi terlaris di Malaysia.

Bukan itu saja, pelbagai watak baharu bakal diperkenalkan dengan personaliti menarik dan setara dengan cita rasa para penonton antarabangsa yang lebih meluas di platform striming Disney+ Hotstar.

Selain menekankan semangat perpaduan dan prinsip integriti, siri Ejen Ali Musim 3 akan meneroka penceritaan mendalam yang membawa kesinambungan dalam misi layar lebar akan datang iaitu Ejen Ali the Movie 2.

Treler awal Ejen Ali Musim 3 sudah boleh ditonton di saluran YouTube Ejen Ali bermula kelmarin.

Ejen Ali Misi: Juang, Ejen Ali The Movie dan Ejen Ali musim 1 and 2 juga boleh distrim di Disney+ Hotstar.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat