Pawagam akur kena tutup

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengusaha pawagam akur pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memaksa premis ditutup sekali lagi, biarpun masih dalam fasa pemulihan selepas perniagaan terjejas teruk ketika PKB dikuat kuasakan, Mac lalu.

Namun, demi keselamatan pengunjung dan enggan mengambil risiko, pengusaha panggung wayang akur menutup premis selama dua minggu di tiga zon PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor, sejak Rabu lalu hingga 27 Oktober ini.

Pengarah Urusan Pemasaran dan Jualan TGV, Mohit Bhargava, berkata, syarikat menanggung kerugian besar apabila operasi panggung wayang dihentikan selama tiga bulan sejak Mac hingga Jun lalu.

Sebaik lampu hijau diberi kerajaan untuk syarikat pawagam memulakan operasi pada 1 Julai lalu, kelegaan mula dirasai.

Namun, tidak sampai tiga bulan cuba memulihkan perniagaan yang terjejas teruk, syarikat berdepan cabaran sama.

“Namun, demi keselamatan pelanggan, kami terpaksa akur biarpun keputusan ini amat berat buat kami.

“Kami sudah menanggung kerugian yang cukup besar sepanjang tempoh PKP. Apatah lagi, perniagaan kami baru hendak menunjukkan tanda-tanda pulih.

“Dengan pelaksanaan PKPB, ia menambahkan lagi bebanan kami,” katanya kepada BH Online.

Mohit berkata, penutupan dan pembukaan panggung wayang cukup mengganggu perjalanan perniagaan.

“Ini bukan saja membabitkan kos malah mengganggu industri panggung wayang, pembekal dan pelanggan kami,” katanya.

Mohit berkata, panggung wayang adalah pilihan hiburan yang popular dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

“Industri panggung wayang dan perfileman menyumbang lebih 30,000 peluang pekerjaan. Tahun demi tahun, kami mengalami penyusutan keuntungan hampir 90 peratus.

“Kini kami terpaksa melabur pula kepada barang keperluan bagi melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan kerajaan agar pengunjung dapat menikmati filem kegemaran dengan rasa selamat,” katanya.

Tambah Mohit, jika keadaan berlanjutan, ia boleh mendatangkan lebih banyak keburukan kepada industri panggung wayang.

Menurutnya, sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, sebanyak 19 panggung wayang dengan 105 dewan tayangan terpaksa ditutup di seluruh negara.

“Dianggarkan 50 lagi panggung wayang akan mengikut jejak langkah sama dengan 300 dewan tayangan dijangka ditutup pada akhir tahun ini.

“Rentetan ini akan membawa lebih banyak keburukan apabila kira-kira 4,000 orang bakal hilang pekerjaan,” katanya.

Mohit berkata, pengusaha pawagam akan mengadakan dialog bersama kerajaan bagi membincangkan perkara itu.

“Kami amat berharap bantuan padu daripada kerajaan agar industri panggung wayang pulih serta dapat terus bertahan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Penjenamaan dan Perhubungan Awam GSC, Sharmine Ishak mengaku penutupan semula panggung wayang menjejaskan perniagaan mereka, lebih-lebih lagi, rata-rata pawagam terletak di Lembah Klang.

Bagaimanapun bagi mengurangkan kerugian, GSC memperkenalkan jualan bertih jagung melalui penghantaran makanan GrabFood.

Perkhidmatan disediakan di tujuh panggung wayang di Lembah Klang iaitu Mid Valley Megamall, IOI City Mall, IOI Mall, MyTOWN Shopping Centre, Summit USJ, Cheras Leisure Mall, Paradigm Mall PJ dan 1 Utama Shopping Centre.

“Tidak dinafikan perniagaan kami terjejas berikutan pelaksanaan PKP. Kini kami terpaksa berdepan dengan pelaksanaan PKPB.

“Jadi bagi mengurangkan risiko kerugian, kami terpaksa memperkenalkan jualan bertih jagung dengan menawarkan khidmat penghantaran kepada pelanggan,” katanya,

Sharmine berkata, dalam tempoh penutupan, pihaknya akan terus menjaga kebersihan premis dan meneruskan proses nyah kuman terutama di tempat yang kerap disentuh seperti kerusi, tangga elektronik, pemegang pintu dan stesen e-kiosk.

“Kami akan pastikan dewan tayangan mendapat pengaliran udara yang cukup bagi mengelak wujudnya kulat,” katanya.

Sharmine berkata, bagi pawagam yang tidak terjejas, operasi masih seperti biasa.

“Waktu operasi juga tidak berubah dan patuhi SOP yang ditetapkan dengan ketat,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat