Hari Malaysia Tonjol Identiti, Keunikan Negara – Nancy Shukri

- Advertisement -

MELAKA – Sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir yang julung kali diadakan di Semenanjung, dilihat mampu menonjolkan identiti dan keunikan negara yang kaya dengan warisan serta kepelbagaian kaum kepada pelancong luar negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia juga dapat memperkenalkan budaya Malaysia kepada pengunjung terutamanya dari luar negara berikutan Melaka juga dikenali antara destinasi utama pelancongan di negara ini.

“Dengan tema era 50-an dan 60-an serta etnik kaum masing-masing sudah pasti ramai hadir untuk meraikan dan menyaksikan sambutan yang diadakan pertama kali di luar Sabah dan Sarawak.

“Jadi mereka dapat menyaksikan juga kepelbagaian kita dari segi pemakaian yang dipakai kaum-kaum terdapat di Malaysia yang mempunyai keunikan tersendiri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy berkata pemilihan Melaka sebagai tuan rumah yang juga tapak bersejarah bagi pengisytiharan tarikh kemerdekaan secara tidak langsung memberi nilai tambah dalam merancakkan lagi sektor pelancongan negara.

“Setelah dua tahun tanpa sambutan secara fizikal, kita yakin rakyat negara ini tentunya teruja untuk meraikannya dan saya terharu melihat sambutan orang ramai yang datang awal ke sini seperti penganjuran pada Hari Kebangsaan sebelum ini.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada semua rakyat Malaysia dan kitalah orang yang akan menentukan hala tuju negara ini untuk menjadi sebuah negara yang lebih maju, lebih membangun dan lebih berbudaya seperti mana kita mahukan selama ini,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, penganjuran Hari Malaysia tahun ini juga dilihat membawa limpahan rezeki kepada penggiat industri pelancongan dan peniaga kecil untuk menambah pendapatan.

“Ini satu daripada daya tarikan yang amat menarik untuk Malaysia terutama festival seperti ini dan akhirnya menjadi satu acara kita untuk menjana pendapatan kepada negara.

“Banyak pengusaha kecil dapat menggunakan peluang ini untuk menjana pendapatan seperti penjual makanan, kraftangan dan sebagainya. Oleh itu, kita harus bersyukur untuk terus menyokong apa-apa jua aktiviti yang kita anjurkan demi rakyat Malaysia,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat