Ahli Parlimen Bersatu Sedia Tanding Bebas Jika Tidak Terpilih Wakili Parti

- Advertisement -

BUKIT GANTANG – Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal sedia mempertahankan kerusi Parlimen itu atas tiket Bebas sekiranya tidak terpilih mewakili parti.

Wakil rakyat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, rakyat kini tidak lagi melihat kepada parti yang diwakili, sebaliknya pemimpin yang dapat memberikan perkhidmatan terbaik di sesuatu kawasan.

Menurutnya, selama ini, segala gerak kerja yang dilakukan di kawasan bukan atas dasar membawa nama parti semata-mata, tetapi sebagai Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan.

“Saya tawarkan diri bertanding kerana saya nak elakkan kawasan Parlimen ini terlepas kepada parti yang tidak beri perkhidmatan baik.

“Jadi kalau saya tidak ada parti, saya akan bertanding atas tiket Bebas, asalkan rakyat bersama saya kerana yang penting, saya nak bagi khidmat kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Malaysia dan Penyerahan Bantuan Tong Ikan Berinsulasi di Jeti Sungai Kerang di sini, pada Jumaat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Syed Abu Hussin yang menang atas tiket BN keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas sebelum menyertai Bersatu.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang dijangka menjadi antara kerusi rebutan selepas Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad yang pernah memenangi kerusi berkenaan pada PRU13 mahu kekal bertanding di situ.

Pas dan Bersatu telah mencapai persepakatan sebagai parti komponen di bawah Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin berkata, suasana pada PRU15 nanti adalah berbeza dan parti seharusnya melihat kekuatan calon yang ada sebelum menentukan kelayakan bertanding di satu-satu kawasan.

“Parti tak boleh ikut apa yang mereka fikir. Mesti tengok siapa yang berpotensi untuk menang.

“Kalau parti tidak dapat melihat kekuatan siapa yang ada, maka parti buat keputusan tak tepat.

“Dulu saya tinggalkan UMNO, bukan bermakna saya lompat, tetapi kerana prinsip. Jika pemimpin tak betul, tinggalkan,” katanya. – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat