Pelajar Malaysia & Indonesia realisasikan CSR : ‘I Love SDG’

Oleh Zihan Zari

KEPALA BATAS – Seramai 22 pelajar Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Politeknik Sultanah Bahiyah (PTSB) bersama 46 pelajar dari lima institusi pengajian tinggi Indonesia telah merealisasikan Program TVET CSR: ‘I Love SDG’ di Taman Bertam Putra dekat sini, baru-baru ini.

PTSB dalam kenyataan berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘I Love SDG ’ bukan sekadar program menanam pokok, malah menjadi pentas generasi muda Malaysia dan Indonesia merapatkan hubungan, memupuk kesedaran dan merancang masa depan yang lebih hijau.

‘ I Love SDG’ dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dengan kerjasama PTSB yang menggabungkan tenaga pelajar TVET dari kedua-dua negara bagi menyokong aspirasi Kerajaan Pulau Pinang mensasarkan 100,000 pokok menjelang sambutan Hari Landskap Negara 2025.

Katanya, bermula dengan aktiviti penanaman di Taman Bertam Putra, peserta turut dibawa meninjau inovasi kitar semula di Unit Upcycle MBSP sebelum meneroka Pusat Pendidikan Hijau di Tasek Gelugor untuk mempelajari amalan pengurusan lestari secara praktikal.

Terdahulu, Pengarah PTSB, Hjh. Norlili Juwita Arshad berkata, program ini sebagai pelaburan nilai kepada masa depan.

“Selain berbakti kepada alam, kita mahu menerapkan nilai murni sebagai contoh positif kepada anak-anak pelajar, generasi yang akan mewarisi dunia untuk generasi akan datang,”katanya.

Bagi peserta kedua-dua negara, pengalaman ini bukan sahaja menambah pengetahuan teknikal tetapi mengukuhkan semangat kebersamaan rentas budaya dan negara. Inilah TVET dalam bentuk paling hidup – ilmu, kemahiran dan nilai, bergerak seiring demi kelestarian bumi.

Dalam pada itu, Setiausaha MBSP, Mohd Ibrahim Md Nor, menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan inisiatif ini.

“Beliau berkata, program ini bertujuan memperkukuh pendidikan kelestarian dan kerjasama rentas negara selain memberi fokus kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti, selaras dengan aspirasi global untuk membentuk masyarakat berilmu, berdaya tahan dan sejahtera. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat