Syarikat subkontraktor LCS baru 45 hari, tuntut RM178 juta – Rafizi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan sebuah syarikat subkontraktor yang baru ditubuhkan 45 hari membuat tuntutan berjumlah RM178 juta daripada projek kapal tempur pesisir (LCS) yang ditempah untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Katanya, pembayaran berkenaan tidak mengikut prinsip-prinsip di dalam Pekeliling Perbendaharaan.

“Kertas siasatan dalaman projek LCS menunjukkan bahawa subkontraktor lapisan kedua (Contraves Electrodynamics Sdn Bhd, atau CED) membuat tuntutan sebanyak RM178 juta sebagai yuran memulakan kerja (“mobilisation fee”) pada hari yang sama ia dilantik, sedangkan pada ketika itu subkontraktor ini ditubuhkan 45 hari sebelum itu.

“Media sebelum ini melaporkan CED ditubuhkan pada 23 Februari 2012, iaitu 45 hari sebelum ia dilantik sebagai subkontraktor lapisan kedua untuk pakej utama bernilai RM1.2 bilion,” dedah Rafizi dalam kenyataan pada Selasa.

Malah beliau mendakwa, perlakuan itu berlaku ketika Datuk Seri Najib Razak menyandang jawatan Menteri Kewangan.

“Sebagai Menteri Kewangan pada ketika itu, Najib mesti menjawab bagaimana sebuah subkontraktor yang hanya berusia 45 hari boleh membuat tuntutan berjumlah RM178 juta dari projek pertahanan utama negara? Penyelewengan-penyelewengan beginilah yang menyebabkan BNS akhirnya tidak mempunyai dana (walaupun telah dibayar kerajaan) dan projek tergendala sehingga tidak ada satu kapal pun siap hingga ke hari ini,” tegas beliau.

Rafizi mendedahkan, rentetan peristiwa mengenai bayaran yang melanggar prinsip urus tadbir Pekeliling Perbendaharaan seperti berikut, pada 9 April 2012 – BNS melantik Contraves Advanced Devices (CAD) sebagai subkontraktor bagi dua pakej utama bernilai RM1.2 bilion.

“9 April 2012 – CAD melantik CED, sebuah syarikat yang baru berusia 45 hari sebagai subkontraktor bagi dua pakej yang dianugerahkan oleh BNS dan 9 April 2012 – CED membuat tuntutan sebanyak RM178 juta sebagai yuran memulakan kerja pada hari yang sama ia dilantik sebagai kontraktor lapisan kedua.

“Transaksi-transaksi sebegini merupakan satu penyelewengan yang melanggar peraturan pembayaran Kementerian Kewangan,” bidas bekas Ahli Parlimen Pandan itu lagi.

Rafizi memaklumkan, kontraktor perlu dilantik dari kalangan pembekal yang paling layak berdasarkan keupayaan teknikal dan pada harga yang terbaik kepada kerajaan.

Selain itu kata Rafizi lagi, kontraktor perlu mempunyai kekuatan kewangan dan aliran tunai sendiri untuk menjalankan kontrak.

“Juga bayaran hanya boleh dibuat mengikut kemajuan projek dan dibayar secara berpatutan mengikut peratusan projek dilaksanakan, seperti yang dipersetujui mengikut dokumen kontrak yang dimeterai dengan kerajaan.

“Maklumat dalaman mengenai urusan tuntutan dan bayaran berhubung projek LCS menunjukkan kesemua perkara satu hingga tiga yang saya sebut telah dilanggar. Ada bukti yang menunjukkan sama ada kontrak kerajaan dengan BNS tidak mengikut peraturan kewangan Pekeliling Perbendaharaan, atau pun pembayaran dibuat tanpa mengikut kemajuan projek yang melanggar Pekeliling Perbendaharaan.

“Bayaran-bayaran besar dikendalikan oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan. Peruntukan disediakan oleh Kementerian Kewangan. Menteri Kewangan semasa projek LCS ini diluluskan dan bayaran-bayaran awal dibuat adalah Najib.

“Sebelum ini, kita tahu bahawa sebanyak RM400 juta dari bayaran pendahuluan projek LCS untuk membayar hutang lapuk BNS. Perkara ini sepatutnya melanggar peraturan kewangan mengikut Pekeliling Perbendaharaan, iaitu bayaran pendahuluan sesuatu projek hanya boleh digunakan untuk projek itu. Jika kita membuat pinjaman sekali pun, bank hanya akan membenarkan pinjaman dikeluarkan bagi tujuan pinjaman itu diluluskan,” katanya.

Umum mengetahui bahawa keseluruhan tadbir urus kewangan negara dipandu dan dikawal oleh satu set Pekeliling Perbendaharaan,” ujar beliau lagi.

Rafizi mendakwa, kebelakangan ini kerajaan PAS-UMNO-Bersatu cuba mengalih perhatian dari isu sebenar yang menimbulkan kemarahan rakyat.

Menurut beliau, mesin propaganda PAS-UMNO-Bersatu yang diketuai Najib cuba meyakinkan rakyat bahawa tiada penyelewengan berlaku, hanyalah kelewatan projek.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat