Pensyarah UUM Saman RM8 Juta Terhadap Bekas Menteri DAP – Laporan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff memfailkan saman terhadap bekas Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim kerana didakwa membuat kenyataan fitnah tiga tahun lepas, lapor portal FMT.

Dr Kamarul berkata pernyataan di laman Facebook Ahli Parlimen Seputeh dari DAP dan kenyataan media selepas itu telah merosakkan reputasinya sebagai ahli akademik dan felo di Institut Penyelidikan Islam (IKSIM).

Memetik laporan itu, saman fitnah berkenaan difahamkan adalah susulan laporan polis yang dibuat Dr Kamarul terhadap seorang lagi pemimpin DAP, Hannah Yeoh berkaitan buku autobiografi berjudul “Becoming Hannah”.

Difahamkan, saman berasingan turut difailkan terhadap pemimpin DAP lain, termasuk ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen; Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh; bekas senator Ariffin Omar dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.

Laporan FMT itu juga berkata, Dr Kamarul turut memfailkan saman terhadap pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) termasuk Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin serta portal berita parti Amanah.

Dr Kamarul mendakwa beliau “ditempelak, dituduh, dimalukan dan difitnah”, terutama oleh pimpinan DAP selepas beliau membuat laporan polis tersebut, kata laporan itu.

Menurut Dr Kamarul lagi, pernyataan Teresa adalah tidak benar dan dibuat dengan niat jahat seakan membayangkan bahawa beliau adalah ancaman kepada orang awam dan tidak layak menjadi pensyarah.

Sehubungan itu Dr Kamarul menuntut ganti rugi RM8 juta daripada Teresa, dan memohon mahkamah mengeluarkan perintah injunksi untuk menghentikan kenyataan berkaitan.

Dr Kamarul berkata, peguamnya telah menghantar surat menuntut Teresa memohon maaf pada 23 Jun lalu, bagaimanapun pasukan perundangan Ahli Parlimen DAP itu menolak tuntutan tersebut.

Beliau juga mendakwa Teresa telah menyiarkan satu lagi kenyataan fitnah terhadapnya di laman Facebook tahun ini, dengan mendakwa beliau “hanya mencari publisiti murahan”. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat