Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kualiti), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali, 51, dilantik sebagai Naib Canselor UTHM yang ke-5 bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 14 Julai 2025 sehingga 13 Julai 2027.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataannya memaklumkan Dr. Mas Fawzi mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sistem Elektromekanikal dari University of Manchester Institute Science and Technology (UMIST) United Kingdom pada 1997 dan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal (Penyelidikan), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2007.
“Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar Hidupan dan Bumi di University of Tokoshima, Jepun pada 2009.
“Beliau memiliki pengalaman yang luas dalam tadbir urus universiti dan telah memegang pelbagai jawatan penting antaranya, Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Siswazah; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan.
Selain itu, Pengarah Pejabat Perancangan Strategik dan Pengurusan Risiko; Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat).
“Beliau juga mempunyai pengalaman berkhidmat di sektor industri sebagai Jurutera Kalibrasi di Samsung Electronics Display Sdn. Bhd. dan Jurutera Industri di Sharp-Roxy Electronics Sdn. Bhd sebelum menyertai perkhidmatan awam pada 2004, ”kata kenyataan itu lagi.
Tambahnya, kementerian yakin, gabungan pengalaman pentadbiran dan lapangan yang beliau miliki adalah merupakan aset berharga yang akan membantu beliau menerajui UTHM menjadi pusat ilmu yang dihormati, inovatif dan relevan dengan keperluan semasa.
“Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan Naib Canselor UTHM iaitu Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim atas jasa dan bakti sepanjang menerajui UTHM sebelum ini, ”tambah kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, seluruh warga UTHM mendoakan semoga kepimpinan Prof. Dr. Mas Fawzi akan terus memperkasa kecemerlangan UTHM sebagai institusi pendidikan tinggi yang unggul, dinamik dan berdaya saing di persada nasional dan antarabangsa.-SUARA.TV



