Anwar pilih sabar, anggap isu gantung 9 ahli Parlimen PKR tak berbangkit

KUALA LUMPUR – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berlapang dada dalam menanggapi desakan untuk menyiasat sembilan ahli parlimennya secara tatatertib berikutan tindakan mereka mengadakan sidang media terbuka yang mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu badan kehakiman.

Anwar sebaliknya memilih untuk bersabar sekali gus menganggap desakan penggantungan sembilan ahli Parlimen PKR itu sebagai tidak berbangkit.

“Isu tak berbangkit, sabar saja,” itu reaksi ringkas Perdana Menteri.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, parti tersebut juga sedang mempertimbangkan gesaan daripada ahli parti agar sembilan ahli parlimen itu digantung keahlian sementara susulan insiden tersebut.

Beliau berkata, laporan rasmi berhubung desakan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi.

“Gesaan tersebut sudah pun sampai kepada saya, dan saya telah dimaklumkan mengenainya. Kini, Pejabat Setiausaha Agung akan meneliti dan mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Menurut Fuziah, laporan itu akan dikaji berdasarkan kod tata etika parti bagi menentukan sama ada tindakan mereka melanggar peraturan parti.

“Saya hanya menjalankan tugas. Yang akan berbincang dan membuat keputusan adalah MPP. Kami mempunyai kod tata etika, jadi perlulah dikaji sama ada tindakan itu melanggarnya atau tidak,” katanya.

Terdahulu, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama lapan ahli parlimen lain dari parti itu tampil dalam satu sidang akhbar mendesak kerajaan menubuhkan RCI serta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) berkaitan pelantikan kehakiman.

Susulan itu, 19 Ketua Cabang PKR Johor dan 11 Ketua Cabang PKR Kedah turut menggesa agar siasatan tatatertib dilakukan dan keahlian sembilan ahli Parlimen itu digantung sementara.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat