PAITAN,– Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperluas usaha meningkatkan kesedaran keselamatan siber apabila menganjurkan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 di daerah Paitan, Sabah.
Program yang berlangsung di Dewan Datuk James Ratib, Pekan Botition itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk James Ratib.
Karnival tersebut merupakan penganjuran pertama di peringkat komuniti di Sabah, dengan 19 lagi siri karnival dijadualkan berlangsung di seluruh negeri melalui pendekatan turun padang bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam aspek keselamatan Internet.
Pelaksanaan kempen itu memberi fokus kepada pendedahan berkaitan risiko siber, penggunaan media sosial secara bertanggungjawab serta advokasi keselamatan digital dalam kalangan komuniti setempat.
Sepanjang program, pelbagai aktiviti interaktif dianjurkan termasuk pameran agensi, sesi perkongsian keselamatan Internet, aktiviti kekeluargaan serta pendaftaran Wira Internet Selamat (WIS) sebagai platform sukarelawan komuniti.
Dalam perkembangan berkaitan, keperluan memperkukuh kesedaran keselamatan Internet di Sabah dilihat semakin mendesak susulan peningkatan aduan kandungan dalam talian.
Sejak 2023 hingga Mei 2026, sebanyak 5,455 aduan direkodkan di Sabah dengan kes penipuan dalam talian mencatat jumlah tertinggi iaitu 1,500 kes, diikuti kebimbangan terhadap kes buli siber dan pornografi kanak-kanak. Di Sandakan sahaja, sebanyak 998 aduan diterima termasuk 384 kes penipuan dalam talian.
Bagi memperkukuh perlindungan pengguna, kerajaan turut mengambil langkah tegas termasuk menetapkan had umur di bawah 16 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun media sosial secara bebas mulai pertengahan tahun ini, selain mewajibkan penyedia perkhidmatan menyediakan fungsi kawalan ibu bapa.
Inisiatif itu selari dengan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu bagi mempertingkat keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga di alam siber.
Program berkenaan turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Karnival tersebut berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan MCMC dalam menyampaikan mesej keselamatan Internet secara lebih dekat dan berkesan kepada masyarakat, khususnya di Sabah.



