Format Peperiksaan SPM 2020 Kekal Sama, Tidak Boleh Diubah Sewenang-Wenangnya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 tidak perlu gusar kerana format peperiksaan awam SPM kekal sama dan tidak boleh diubah sewenang-wenangnya.

Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata ini kerana standard sijil SPM yang dikeluarkan telah diiktiraf pakar tempatan dan antarabangsa.

“Kurikulum dan standard soalan masih sama justeru tidak akan berlaku perubahan format dan jika berlaku sekalipun, ia perlu mengambil masa yang lama iaitu minimum tiga tahun dan boleh mencecah sehingga lima tahun kerana perlukan kajian.

“Sijil SPM ini bertaraf antarabangsa kerana itu ia tidak boleh diubah sewenang-wenangnya… jika tidak, sijil kita tidak laku, anak-anak tidak boleh sambung belajar di luar negara dan tidak boleh mendapatkan biasiswa termasuk sukar untuk mendapat pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Peperiksaan Awam Tahun 2020 Dalam Norma Baharu’ terbitan Bernama TV di sini malam ini.

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sebelum ini menegaskan format peperiksaan SPM 2020 kekal seperti sedia ada sekali gus menafikan laporan sebuah akhbar berkaitan perubahan format peperiksaan itu pada masa akan datang.

Pkharuddin juga berkata sekiranya terdapat calon yang didapati positif COVID-19 atau yang diarahkan menjalani kuarantin kerana merupakan kontak rapat, mereka tidak akan dibenar menduduki peperiksaan.

“Dalam garis panduan kita jelas menyatakan dua kumpulan calon ini tidak boleh menduduki peperiksaan namun selepas mereka disahkan berada dalam keadaan sihat oleh doktor yang merawat dengan surat pengesahan doktor, maka mereka layak untuk menduduki kertas peperiksaan yang dijadualkan semula,” katanya.

Peperiksaan utama iaitu SPM dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dijadualkan bermula pada 22 Feb ini diikuti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020, serta peperiksaan antarabangsa yang setara tahun lepas.

Peperiksaan awam ini akan berlangsung sehingga 25 Mac melibatkan 401,105 calon.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat