SHAH ALAM, 15 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan ada usaha untuk membawa Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke dalam PKR.
Menurut Anwar yang juga Presiden PKR, parti berkenaan bersikap terbuka kepada mana-mana pemimpin yang mampu memberi sumbangan kepada parti tersebut.
“Kita tidak menafikan dan tidak pernah mengajak orang, tetapi kita sedia bincang dan parti ini terbuka… orang yang bekas Umno pun ada dalam Keadilan. Sekarang ini ada perbincangan awal.
“Prinsip kita ambil sikap terbuka untuk orang boleh memberi sumbangan. Tetapi dengan cara baik supaya hubungan dengan parti UMNO baik.
“Dasar kita tidak galakkan. Tetapi kita tidak halang,malah hormat keputusan mereka”, kata Anwar kepada pemberita pada Kongres Khas Nasional PKR di sini hari ini seperti dilaporkan oleh media rasmi kerajaan, RTM.
Jelasnya, meskipun perbincangan telah dibuat, permohonan rasmi daripada Tengku Zafrul belum diterima.
Terdahulu, Tengku Zafrul yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menyatakan beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kedudukan politiknya dalam masa terdekat.
Jumaat lepas SuaraTV melaporkan terdapat usaha membawa masuk Zafrul ke dalam PKR bagi menggantikan Datuk Seri Amiruddin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.