TMESA mengumpul dana lebih RM500,000 dalam malam amal Night of Love & Compassion di WTC Kuala Lumpur

- Advertisement -

Malam penuh kasih sayang dan keprihatinan melakar sejarah di World Trade Centre Kuala Lumpur dalam acara amal anjuran Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Rendah dan Menengah Tengku Mahmud Besut Terengganu (TMESA). Bertemakan Night of Love & Compassion, acara ini bertujuan mengumpulkan dana bagi Program Sponsor A Student (SAS), sebuah inisiatif TMESA untuk membantu pelajar daripada keluarga miskin tegar.

Acara dimulakan dengan persembahan penuh emosi oleh penyanyi tersohor, Dato’ Hattan, yang memukau hadirin dengan enam buah lagu, antaranya Rendang Tak Berbuah, Mahligai Syahdu, dan Gadis Jolobu yang dinyanyikan duet bersama anaknya, Adam. Persembahan Dato’ Jamal Abdillah melengkapkan malam dengan enam buah lagu ikonik, termasuk Gadis Melayu, Aku Penghibur, dan Kekasih Awal dan Akhir, menyentuh perasaan penonton. 

Malam itu menjadi semakin istimewa apabila kedua-dua penyanyi legenda ini, Dato’ Hattan dan Dato’ Jamal Abdillah, bergabung untuk lagu penutup, Kepadamu Kekasih. Lagu ini dinyanyikan dengan penuh keharmonian dan kekuatan vokal yang memukau. Persembahan ini benar-benar menjadi puncak acara, dengan kedua-dua penyanyi membawa penonton menyelami setiap lirik dan melodi yang penuh perasaan. Suasana di dalam dewan menjadi begitu magis, seakan-akan waktu berhenti seketika, hanya menyaksikan dua bintang ini menyampaikan lagu yang begitu menyentuh jiwa.

Yang menjadikan acara ini lebih bermakna adalah kisah di sebalik Program SAS yang dikongsi oleh Presiden TMESA, Dato’ Muhammad Nasir Bin Hamzah. Program ini terinspirasi daripada kisah dua beradik di Besut yang terpaksa bergilir-gilir ke sekolah kerana hanya memiliki sepasang seragam sekolah. Kecekalan mereka membakar semangat TMESA untuk membantu pelajar miskin agar tidak ketinggalan dalam pendidikan.

Dilancarkan pada 4 Mac 2005, Program SAS menaja kira-kira 70 pelajar setiap tahun dari daerah Besut, Setiu, dan Hulu Terengganu. Setiap pelajar ditaja selama dua tahun dengan sumbangan RM1,500 seorang, yang meliputi yuran sekolah, seragam, buku, dan keperluan lain seperti basikal untuk pengangkutan. Program ini memberi fokus kepada pelajar yang kurang cemerlang akademik, dengan harapan bantuan ini dapat mendorong mereka mencapai potensi terbaik.

Pada malam tersebut, TMESA berjaya mengumpulkan lebih RM500,000 melalui penjualan meja makan dan sumbangan para dermawan. Walaupun sasaran awal RM700,000 belum tercapai, kejayaan ini tetap disambut dengan penuh rasa syukur oleh Dato’ Muhammad Nasir.

“Target kutipan pada harini sepatutnya dalam RM700,000. Kita nak jual 100 meja ataupun 93 meja, tapi sekarang kita terjual lebih 80 meja. Kutipan kita malam ini lebih RM500,000,” ujar beliau.

“Acara seperti ini pernah kita adakan lebih 20 tahun lalu, tetapi disebabkan kekurangan dana,maka kita buatkan semula program Amal ini.  Kini, dengan sokongan alumni dan ramai pihak, kami berjaya menghidupkan kembali semangat perjuangan ini,” tambah beliau lagi.

Keunikan acara ini terletak pada pendekatannya yang meraikan semua hadirin tanpa perbezaan darjat. “Semua yang hadir adalah VIP. Mereka yang duduk di depan adalah mereka yang membeli meja pada harga tinggi untuk menyokong program ini. Fokus kita adalah meraikan penyumbang, bukan diri kita sendiri,” jelas beliau.

Keakraban antara ahli TMESA juga jelas terserlah, dengan suasana penuh gelak ketawa dan gurauan yang mengimbau kenangan zaman persekolahan. Malam amal ini bukan sahaja mempertemukan kembali para alumni tetapi juga menyuntik semangat untuk terus berbakti kepada masyarakat, khususnya generasi muda yang kurang bernasib baik.

Dengan kejayaan acara ini, TMESA berhasrat memperluaskan lagi Program SAS dan membantu lebih ramai pelajar miskin tegar agar dapat menikmati masa depan yang lebih cerah.

 

author avatar
Fendi Ghafar
Venni Viddi Vinchi
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat