‘Terperam’ tujuh tahun

- Advertisement -

PENERBIT dan pelakon Sharifah Shahora bersyukur apabila naskhah Keluarga Untuk Disewa yang diperam hampir tujuh tahun selepas ditolak beberapa stesen televisyen akhirnya menemui penonton di TV9.

Sharifah Shahora yang juga pemilik syarikat produksi Eleven Field Creative Sdn Bhd bersama suaminya, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin berkata, mereka sangat optimis dengan karya yang ditulis pada 2013 itu dan percaya drama itu akan diterima walaupun rezeki drama itu tiba lewat.

“Jika diikutkan sinopsis drama Keluarga Untuk Disewa diserahkan kepada rangkaian stesen TV Media Prima Berhad (MPB) pada 2013 dan pernah juga dihantar ke stesen TV lain, tetapi ditolak.

“Selepas beberapa tahun, kami tidak sangka pihak MPB menghubungi semula memaklumkan persetujuan untuk menerbitkan drama ini,” katanya.

Menurut Sharifah Shahora, sinopsis awal drama terbabit asalnya berkonsep serius, namun jalan ceritanya dirombak apabila stesen TV mahukan sebuah karya komedi.

“Skrip asal drama ini berkonsep serius, tetapi pihak stesen TV meminta kami rombak semula skrip menjadi komedi. Sebanyak 80 peratus skrip diubah dengan menggunakan khidmat dua penulis skrip iaitu Ellyna Ahmad dan MF Kencana.

“Walaupun naskhah ini bergenre komedi, tapi kami tidak mahu karya ini nampak seperti murahan. Justeru, kami memilih ‘black comedy’ sebagai konsep drama ini,” katanya.

Dalam pada itu, Raja Mukhriz yang juga pengarah berkata, karya berkonsep ‘black comedy’ memberi satu cabaran kepada pelakon untuk menjayakan watak masing-masing

Disebabkan itu, dia enggan melakukan eksperimen dan mengambil risiko dengan mengambil pelakon baharu yang memiliki pengikut ramai dalam media sosial.

Sebaliknya, dia memilih pelakon yang sudah terbukti boleh berlakon dan mampu membawakan watak dengan baik.

“Drama ini agak berbeza kerana tiada yang menjadi watak utama. Sebaliknya, tujuh watak adalah sama penting. Mereka saling melengkapi. Disebabkan itu, saya memerlukan pelakon berpengalaman yang mampu melontarkan skrip dan lakonan berkesan. Saya tidak boleh bereksperimen kerana dalam drama ini pelakon perlu berlakon dalam lakonan.

“Setiap pelakon perlu faham skrip dan jalan cerita. Mereka juga perlu mengolah watak dengan gaya tersendiri. Melihat hasilnya saya amat berpuas hati dengan barisan pelakon, mereka sudah memberikan yang terbaik,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran sepanjang penggambaran yang dilakukan di Melaka dan Besut, Terengganu, Raja Mukhriz berkata, sesi penggambaran drama terbabit terpaksa ditangguhkan beberapa kali susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Drama Keluarga Untuk Disewa menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Pekin Ibrahim, Adibah Noor, Dynas Mokhtar, Afifah Nasir, Fimie Don dan Fifi Laura.

Drama terbabit menemui penonton di slot Diandra TV9 sejak 2 November lalu.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat