Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin seru SUK patuhi arahan MB, laksana keputusan MMKN tanpa berlengah

SEREMBAN – Undang Yang Empat asal menyeru Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan supaya mematuhi arahan Menteri Besar serta melaksanakan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berhubung proklamasi di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) tanpa berlengah.

Dalam kenyataan bersama Tunku Besar Tampin hari ini, Undang Yang Empat menyatakan bahawa kepatuhan terhadap keputusan itu merupakan cara menjunjung titah seruan Raja-Raja Melayu supaya pertikaian takhta diselesaikan melalui saluran yang sah, tertib dan berwibawa.

“Maka kami selaku YTM Undang Yang Empat bersabda agar YB Setiausaha Kerajaan Negeri dan YB Penasihat Undang-Undang Negeri menurut arahan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Mereka juga hendaklah melaksanakan Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bil. 6 Tahun 2026 tanpa berlengah,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menyambut titah seruan Raja-Raja Melayu yang disampaikan melalui kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 14 Oktober.

Menurut kenyataan bersama itu, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menjunjung kasih serta menyambut baik seruan supaya semua pihak mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran dan penghormatan terhadap adab, adat serta maruah institusi diraja.

Mereka turut menegaskan bahawa penyelesaian pertikaian hendaklah berlandaskan aturan adat, sejarah dan kerangka UUTKNS, dalam semangat syura serta musyawarah.

Berhubung proklamasi yang menjadi asas pendirian mereka, Undang Yang Empat menyatakan dokumen itu telah ditandatangani dan dimeteraikan oleh mereka sebelum disempurnakan dengan tandatangan Menteri Besar pada 3 Ogos 2026.

Menurut kenyataan itu, MMKN menerusi Keputusan Bil. 6 Tahun 2026 bertarikh 15 September kemudian menerima proklamasi tersebut sebagai sempurna menurut Perkara 10(2), selain mengarahkan pentadbiran negeri melaksanakannya serta-merta.

Undang Yang Empat turut menegaskan pendirian bahawa peruntukan berkenaan tidak mensyaratkan proklamasi itu diwartakan.

“Mana-mana pihak tidak boleh sewenang-wenangnya menambah syarat pewartaan atau prasyarat lain yang tidak terkandung dalam teks UUTKNS. Pandangan Jabatan Peguam Negara tidak boleh bercanggah dengan peruntukan UUTKNS,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam masa sama, mereka menyambut baik seruan supaya pihak luar tidak mencampuri atau mempolitikkan pertikaian takhta Negeri Sembilan.

Dengan merujuk Perkara 71(1) Perlembagaan Persekutuan, kenyataan itu mengemukakan pendirian bahawa pertikaian hak naik takhta hendaklah diputuskan oleh pihak berkuasa dan mengikut cara yang ditetapkan oleh perlembagaan negeri.

Menurut tafsiran yang dikemukakan dalam kenyataan tersebut, kuasa berkenaan bagi Negeri Sembilan terletak pada Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 dan 11 UUTKNS.

Sehubungan itu, mereka menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan serta jabatan dan agensinya hendaklah menghormati bidang kuasa yang ditetapkan oleh perlembagaan negeri.

Kenyataan bersama itu turut mengulangi pendirian mereka bahawa, selewat-lewatnya selepas 15 September 2026, Tuanku Muhriz tidak lagi boleh menjalankan fungsi dan kuasa pemerintahan.

Atas pendirian tersebut, mereka menyeru baginda supaya berhenti melaksanakan fungsi dan kuasa kedaulatan Yang di-Pertuan Besar, sambil menyatakan kesediaan membuka ruang perundingan berhubung urusan penurunan takhta.

Menurut kenyataan itu, perundingan berkenaan hendaklah berlangsung secara baik, dalam semangat kekeluargaan serta tanpa merendahkan atau menghina mana-mana pihak.

“Krisis takhta ini tidak wajar berpanjangan sehingga menggugat perjalanan kuasa pentadbiran negeri,” menurut kenyataan itu, sambil menegaskan bahawa kesejahteraan rakyat juga tidak seharusnya terjejas.

Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin turut menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan, khususnya anak buah, buapak dan Lembaga yang menyokong ketetapan mereka, supaya bertenang serta menjaga tutur kata.

Orang ramai juga diminta tidak menyebarkan khabar yang belum disahkan atau terpengaruh dengan naratif yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Kenyataan itu diakhiri dengan harapan agar kebijaksanaan mengatasi emosi dan muafakat mengatasi perselisihan demi kepentingan Negeri Sembilan, kesejahteraan rakyat serta kemuliaan institusi diraja.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat