DAP tidak berhasrat singkir Umno di Pulau Pinang, itu hanya pandangan peribadi Guan Eng – Kon Yeow

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang Chow Kon Yeow menyifatkan. gesaan Penasihat DAP Kebangsaan Lim Guan Eng supaya Kerajaan Pulau Pinang pimpinan PH menutup pintu kepada Umno adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi parti.

Beliau berkata, setakat ini, tiada sebarang keputusan atau arahan daripada pucuk pimpinan DAP untuk mengeluarkan Umno daripada pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Ini adalah pandangan peribadi beliau (Guan Eng) semata-mata dan parti DAP tidak membuat apa-apa keputusan sedemikian.

“Itu bukan pendirian parti dan buat masa ini, tidak ada apa-apa arahan parti untuk mengeluarkan Umno daripada pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya ketika menjawab soalan pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program Rintis Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawan, memetik Buletin Mutiara pada Selasa.

Menurut beliau, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat pimpinan PH bagi membincangkan pendirian Umno susulan ucapan Presiden parti itu pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

Justeru, menurut Kon Yeow, sebarang keputusan berkaitan kedudukan Umno dalam kerajaan perlu tertakluk kepada keputusan pimpinan tertinggi PH, dan tidak wajar diputuskan secara berasingan di peringkat bawahan.

“Jadi kita tertakluk kepada keputusan pimpinan tertinggi, jangan di bawah masing-masing membuat pelbagai kenyataan.

“Kita tumpukan perhatian kepada pimpinan atasan, khususnya Majlis Pimpinan Pakatan Harapan,” ujarnya.

Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menyatakan bahawa sebarang perkembangan berkaitan perkara berkenaan perlu ditentukan melalui saluran serta mekanisme rasmi kepimpinan gabungan itu.

Terdahulu, Guan Eng dalam kenyataannya menggesa kerajaan Pulau Pinang pimpinan PH supaya “menutup pintu” kepada Umno, susulan cabaran Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada kerajaan Persekutuan supaya menyingkirkan parti itu dari Putrajaya.

Beliau turut mempersoalkan apakah Zahid berani mengemukakan cabaran sama kepada kerajaan Pulau Pinang, yang turut melibatkan wakil Umno dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK), dua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata bahawa Umno tidak sepatutnya mengambil kesempatan daripada kedudukan parti itu yang masih berada dalam Kerajaan Negeri, tetapi pada masa sama bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Kenyataan itu dikeluarkan susulan kenyataan Presiden Umno yang mencabar kerajaan gabungan pimpinan PH supaya menyingkirkan Umno dari kerajaan, dan mengadakan pilihan raya mengejut dalam ucapan pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat