Kempen ‘The Hidden Wonders Of Malaysia’ di Aquaria KLCC sehingga 31 Oktober ini

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Orang awam berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat pelbagai spesimen yang telah diawet khususnya spesimen yang mempunyai nilai sejarah dan keistimewaan tersendiri menerusi Kempen ‘Keajaiban Malaysia yang Tersembunyi’ (The Hidden Wonders Of Malaysia) di Aquaria Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sehingga 31 Oktober ini.

Kempen ‘The Hidden Wonders Of Malaysia’ sekali gus meningkatkan kesedaran serta penghargaan masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan khazanah biodiversiti negara melalui integrasi kepakaran sektor awam dan swasta.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Mohamad Shawali Hj. Badi berkata kempen ini bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), merupakan satu inisiatif rentas sektor yang bukan sahaja melonjakkan nama Aquaria malah turut membantu JMM memperkenalkan dan mempromosikan Muzium Alam Semula Jadi (MAS) sebagai Guardian of Specimens Collection yang memelihara warisan biodiversiti negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen ‘The Hidden Wonders of Malaysia’ di Aquaria KLCC, dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Aquawalk Group, Dato’ Simon Foong; Setiausaha Bahagian Kolaborasi Strategik, Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Zaimy Shaari; dan Timbalan Pengarah MAS, Degor Anak Johia.

Mohamad Shawali berkata kolaborasi JMM bersama Aquaria KLCC telah bermula sejak tahun 2017 lagi melalui peminjaman spesimen bagi pengisian program pendidikan dan pameran sementara yang diadakan di Aquaria KLCC.

Katanya, kerjasama kolaborasi strategik rentas sektor ini dilihat dapat meningkatkan kesedaran awam tentang pemeliharaan warisan negara.

Selain itu, mencerminkan semangat kerjasama strategik (strategic partnership) antara dua institusi yang mempunyai aspirasi yang sama, iaitu memperkasa, memelihara dan mempromosikan warisan alam semula jadi negara agar terus relevan serta dihargai oleh generasi masa kini dan akan datang.

“Melalui kempen ini juga, orang awam dapat melihat dengan lebih dekat spesimen- spesimen yang telah diawet terutamanya spesimen yang mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri.

“JMM sentiasa mengamalkan dasar terbuka dalam menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak sama ada kementerian, agensi kerajaan, kerajaan negeri, institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan, pihak swasta mahupun komuniti,”katanya.

Ujarnya, usaha memelihara, memulihara dan memperkasakan warisan negara bukanlah tanggungjawab JMM semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan dan sokongan semua
pihak.

“Melalui kolaborasi seperti ini, diharapkan kesedaran untuk memelihara warisan negara dapat dipertingkatkan dan sekali gus memperluaskan akses masyarakat terhadap warisan alam semula jadi negara.

“Kolaborasi ini dapat diteruskan lagi memandangkan jabatan dalam persediaan untuk membina MAS yang baharu menjelang 2033 nanti,”ujarnya lagi.

Tambahnya, pihak Aquaria akan dapat juga membantu menyumbang spesimen-spesimen marin yang telah mati kepada pihak muzium untuk diawetkan kakitangan Muzium bagi tujuan pameran kekal di muzium baharu kelak bagi manfaat masyarakat.

“Saya juga menyeru agar kita dapat bersama-sama menyokong dan memperkukuh peranan muzium agar kekal relevan, inklusif dan dekat di hati kita semua selaras dengan arus pembangunan negara dan keperluan generasi masa hadapan,”tambahnya lagi. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat