PORT DICKSON, – Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Che’gu Bard meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa dirinya difitnah oleh kem Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sehingga digambarkan seolah-olah menyertai kem tertentu dalam parti.
Dalam kenyataan terbarunya, beliau menegaskan dirinya bukan daripada mana-mana kem, sebaliknya hanya mahu menumpang platform Bersatu untuk melawan kerajaan semasa.
“Aku bukan geng mana-mana. Che’gu Bard nak tumpang parti ini nak lawan rejim saja. Aku tak kebulur kerusi pun… aku nak lawan saja. Aku berlawan tak disokong tak apa, tapi jangan pijak,” katanya.
Che’gu Bard turut menyindir tulisan bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohammad, yang sebelum ini memberi amaran Bersatu berisiko “mati sebelum tua”. Beliau mempersoalkan sama ada teguran terbuka seperti itu tidak dianggap memalukan parti.
“Adakah kalau orang lain tegur terbuka akan dianggap memburukkan imej parti pula? Kepada pemimpin yang hina Che’gu Bard keluar masuk lokap, naik turun mahkamah sebagai tak ada otak, boleh respon tak ni? Atau tak mampu nak jawab sebab lidah sibuk menjilat,” sindirnya.
Beliau menegaskan ahli akar umbi tidak menolak kepimpinan presiden, namun mula berasa tidak selesa dengan kelompok penyokong Muhyiddin yang didakwanya terlalu mengampu sehingga memberi gambaran parti berpecah dan taksub individu.
Che’gu Bard juga membidas tuduhan kononnya beliau berkem Hamzah Zainudin atau dibayar oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Malah, beliau mendakwa wujud provokasi berbentuk ugutan daripada individu yang rapat dengan kepimpinan tertinggi.
Mengakui semakin letih dengan polemik dalaman, beliau menyatakan hasrat untuk berdiam diri selepas ini, kecuali menunggu keputusan kes mahkamahnya di Johor pada 26 September nanti. -Suara.TV



